AM

Sibu Jaya Nadi Pertumbuhan Baharu Wilayah Tengah Sarawak - Premier

09/11/2025 12:01 AM

SIBU, 8 Nov (Bernama) -- Sibu Jaya kini muncul sebagai nadi pertumbuhan baharu di wilayah tengah Sarawak hasil pembangunan pesat yang dirancang secara berfasa sejak 30 tahun lepas, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dengan lebih 35,000 penduduk serta lebih 6,600 unit kediaman, 384 unit komersial dan 179 lot industri yang telah dibangunkan, bandar itu bukan lagi sekadar kawasan perumahan kos rendah seperti pada awal penubuhannya tetapi berkembang sebagai pusat komuniti dan ekonomi moden.

“Sibu Jaya hari ini mempunyai kedudukan yang strategik. Ia tidak hanya berfungsi sebagai bandar satelit Sibu, tetapi telah menjadi pemangkin pertumbuhan bagi kawasan sekitarnya termasuk Kanowit, Song, Julau, Pakan dan Dalat,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Sibu Jaya dan Konsert Karnival Sibu Jaya 2025, di sini malam tadi.

Beliau berkata perkembangan itu didorong oleh pelaksanaan Pelan Induk Sibu Jaya 2005 serta peningkatan akses fizikal melalui Jambatan Durin yang menghubungkan Sibu Jaya ke Lebuh Raya Pan Borneo sekali gus membuka peluang ekonomi dan pelaburan baharu.

Abang Johari berkata kemajuan yang dicapai juga diiktiraf di peringkat nasional dan serantau  termasuk Anugerah Perancangan Berjaya (2007), Anugerah Hartanah Asia Tenggara (2014), Anugerah Kecemerlangan (2017) serta pengiktirafan Pertubuhan Akitek Malaysia (2023) bagi Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim.

Beliau berkata kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pembangunan fasa seterusnya merangkumi perumahan generasi kedua, pengukuhan sektor perniagaan dan industri, penerokaan tenaga boleh diperbaharui, serta menjadikan Sibu Jaya sebagai hab sukan dan rekreasi zon tengah.

“Ulang tahun ke-30 ini bukan sekadar mengenang perjalanan lampau tetapi menandakan permulaan baharu untuk menjadikan Sibu Jaya sebagai bandar harapan dan kemajuan bagi rakyat Sarawak,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak, Amcorp Group, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) serta komuniti Sibu Jaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan