AM

Anwar Lawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad, Semarak Warisan Seni Di Sekolah

08/11/2025 11:45 AM

BUKIT MERTAJAM, 8 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir yang diwujudkan bagi menghargai sumbangan pelakon dan pengarah legenda kelahiran daerah ini.

Dalam lawatan kira-kira 30 minit itu, Anwar dibawa meninjau ruang pameran interaktif yang menampilkan foto arkib, memorabilia dan bahan digital berkaitan Allahyarham Nordin Ahmad, antara pelakon unggul dan bintang besar semasa era filem Melayu klasik.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim. 

Disokong melalui Program Levelling Up Seberang Perai (LUSP), penubuhan galeri berkenaan bukan sahaja bertujuan memperingati tokoh seni tempatan, malah menjadi medium pendidikan untuk memupuk rasa bangga terhadap warisan budaya negara dalam kalangan pelajar.

Dibuka pada Januari 2025, Galeri Karyawan Nordin Ahmad mengabadikan kehidupan dan karya Allahyarham Nordin Ahmad, anak jati Permatang Pauh yang dikenali melalui lakonan ikonik dalam filem Semerah Padi (1956) dan Hang Jebat (1961). 

Melalui Program Geran Pekan Seberang Perai di bawah LUSP, dengan sokongan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang, sebahagian bangunan bersejarah SK Permatang Pasir yang dibina pada 1888 dan pernah menjadi tempat beliau bersekolah diubah suai menjadi galeri berkenaan. 

Pengerusi Persatuan Karyawan Pulau Pinang Datuk Dr Sohaimi Abdul Aziz berkata pembinaan galeri itu sebagai bukti bahawa budaya boleh hidup di ruang seharian seperti sekolah, bilik darjah dan dewan komuniti. 

"Yang penting ia terus digunakan, dikunjungi dan dibincangkan. Dengan sokongan di bawah LUSP, kami dapat mewujudkan rumah kekal bagi kisah Nordin Ahmad di Permatang Pauh, tempat asal perjalanan beliau," katanya. 

Lawatan Perdana Menteri itu dianggap simbolik kepada komitmen kerajaan memperkasakan pendidikan berteraskan seni, budaya dan nilai tempatan sebagai sebahagian daripada pembangunan insan yang seimbang.

Setakat ini, LUSP telah menyalurkan geran berjumlah RM3.9 juta kepada 65 penerima manfaat, dengan 94 aktiviti dilaksanakan dalam 18 bidang tumpuan termasuk pemulihan warisan, ekonomi kitaran, pemerkasaan wanita, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta pendidikan alam sekitar. 

Program itu turut menjana pelaburan bersama bernilai RM4 juta melalui kerjasama rakan tempatan dan pembiayaan padanan yang mengukuhkan rasa pemilikan dan sokongan jangka panjang dalam kalangan komuniti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan