AM

Usaha Pemuliharaan Harimau Malaya Diperkukuh Melalui Pembiakan Semula Jadi, Penjagaan Ekosistem

08/11/2025 11:00 AM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KOTA BHARU, 8 Nov (Bernama) -- Penyelidikan terhadap tingkah laku dan pembiakan Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) di dalam kurungan bukan sahaja bertujuan menambah populasi spesies itu, tetapi juga memastikan keseimbangan ekosistem semula jadi terus terpelihara, kata Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Choong Siew Shean.

Beliau berkata penyelidikan yang dijalankan bersama-sama pelajar projek tahun akhir itu menumpukan kepada dua kumpulan utama harimau, iaitu yang dibiak sepenuhnya di dalam kurungan dan yang baru ditangkap dari habitat liar akibat konflik manusia-hidupan liar.

"Kami perhatikan ada perbezaan tingkah laku antara kedua-dua kumpulan ini. Harimau yang lahir di dalam kurungan lebih jinak dan mudah didekati, manakala yang baru ditangkap masih liar serta mudah tertekan apabila melihat manusia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kajian itu turut menilai kitaran biologi dan tingkah laku semula jadi haiwan berkenaan ketika tempoh mengawan bagi menambah baik pembiakan secara semula jadi tanpa menggunakan teknologi reproduktif bantuan seperti permanian beradas.

"Pembiakan secara semula jadi lebih baik kerana membolehkan harimau menunjukkan naluri dan tingkah laku semula jadinya. Harimau ialah haiwan solitari (hidup bersendirian), jadi jika diletakkan bersama-sama dalam tempoh terlalu lama, haiwan ini mungkin jadi ‘kawan’ dan hilang minat untuk mengawan. Kami hanya satukan ketika tempoh sesuai sahaja,” katanya.

Dr Choong berkata antara cabaran utama dalam usaha konservasi harimau ialah penyusutan habitat akibat aktiviti pembalakan, pertanian dan pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya yang memecah kawasan jelajah haiwan itu.

"Harimau jantan mempunyai wilayah lebih luas dan bertindih dengan beberapa kawasan betina. Tetapi, apabila hutan makin kecil, peluang untuk bertemu dengan pasangan semakin tipis … belum termasuk lagi isu pemburuan haram dan jerat dawai yang masih berlaku,” katanya.

Beliau berkata walaupun spesies harimau di Malaysia pernah disangka sama dengan harimau Indochina (Panthera tigris corbetti), kajian genetik menunjukkan Harimau Malaya ialah subspesies tersendiri yang unik dan sangat terancam sekali gus menjadikannya sasaran pemburu kerana nilai pasaran gelap yang tinggi.

"Setiap anggota badan Harimau Malaya bernilai tinggi seperti kepala, gigi, kulit dan lain-lain lagi apabila dijual di pasaran gelap," katanya.

Dalam masa sama, UMK turut memperluas usaha pemuliharaan melalui projek pembiakan rusa sambar sebagai sumber makanan semula jadi harimau di habitat liar.

"Kami baru dapat geran daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk membiak rusa sambar. Sebelum ini, kami pelihara rusa timur, tetapi spesies itu bukan asli dan kurang nilai dari segi konservasi.

"Rusa sambar penting kerana antara makanan utama harimau. Kalau rusa semakin berkurangan, rantai makanan pun terjejas,” katanya.

Dr Choong berkata wabak demam babi Afrika yang menjejaskan populasi babi hutan turut memberikan kesan kepada ekosistem kerana haiwan itu juga merupakan sumber makanan pemangsa besar seperti harimau.

“Apabila rantai makanan pada peringkat bawah terganggu, iaitu rusa atau babi hutan semakin kurang, kesannya akan naik ke atas. Harimau sebagai spesies utama bergantung pada keseimbangan di bawahnya,” katanya.

Menurut beliau, projek pembiakan rusa di UMK Bachok kini bermula dengan 10 ekor sebagai fasa pertama dengan fokus kepada konservasi, bukan keuntungan.

"Projek ini lebih kepada tujuan pengajaran dan pembelajaran. Kos penjagaan rusa tinggi, jadi kami tidak lihat dari sudut komersial. Apabila populasi mencukupi, pihak Perhilitan akan membuat perancangan pelepasan semula bagi menyeimbangkan ekosistem,” katanya.

Menyentuh potensi konflik manusia–harimau, Dr Choong berkata haiwan itu secara semula jadi tidak menyerang manusia kecuali berasa terancam atau kehabisan sumber makanan.

"Kalau harimau serang manusia, haiwan ini tahu akibatnya lebih teruk. Lazimnya, harimau elak manusia, kecuali jika ada ancaman atau peluang sangat dekat. Kes yang kita dengar pun jarang, kadang-kadang haiwan ini serang, tetapi tidak makan,” katanya.

Dr Choong turut berpandangan usaha melindungi Harimau Malaya perlu digerakkan seiring dengan kesedaran menghargai sumber alam semula jadi.

"Saya rasa bermula daripada perkara kecil seperti tidak membazir makanan dan menghargai sumber air boleh menanam rasa cinta kepada alam. Jika dari rumah kita sudah belajar menghargai, lama-kelamaan kita akan sayang hutan dan hidupan di dalamnya. Semua ini saling berkait,” katanya.

Beliau berkata walaupun masyarakat bandar tidak nampak secara langsung manfaat hutan, ekosistem itu sebenarnya membawa udara bersih dan air yang mengekalkan kehidupan manusia.

“Kadang-kadang kita rasa hidup senang, makan tidak habis kita tinggalkan sahaja, tetapi sebenarnya semua itu datang daripada hasil alam. Kalau kita belajar menyayangi alam dari kecil, kita akan lebih menghargai kehidupan termasuk kehidupan harimau yang kita tak pernah nampak pun,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan