Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan sedikit lebih tinggi minggu depan, disokong oleh penstabilan harga emas sekitar US$4,000 setiap auns troy.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas semerta berada sekitar US$4,000 setiap auns troy selepas mencatatkan beberapa paras tertinggi sepanjang masa pada bulan lepas.
"Ini bermakna berlaku pembetulan harga emas dan ia kini berada pada tahap sokongan," katanya.
"Jika prospek penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada Disember semakin jelas, saya rasa harga emas mungkin akan meneruskan aliran kenaikannya," katanya kepada Bernama.
Berdasarkan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta November 2025 meningkat kepada US$4,022.60 setiap auns troy daripada US$4,022 setiap auns troy sebelumnya, kontrak Disember 2025 naik kepada US$4,039.90 setiap auns troy daripada US$4,039.30 setiap auns troy minggu lepas dan kontrak Januari 2026 menokok kepada US$4,058.60 setiap auns troy daripada US$4,056.30 setiap auns troy seminggu sebelumnya.
Sementara itu, kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya ditutup lebih tinggi pada US$4,074.50 setiap auns troy daripada US$4,072.20 setiap auns troy pada hujung minggu lepas.
Jumlah dagangan mingguan turun kepada 379 lot daripada 1,953 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 132 kontrak berbanding 300 kontrak sebelumnya.
Emas fizikal berada pada harga US$3,986.50 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 6 Nov, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial