SUKAN

Boling Padang: Muhammad Soufi Bangkit Daripada Kekalahan, Kekal Rentak Kemenangan

06/11/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, Nov 6 (Bernama) -- Pemain negara Muhammad Soufi Rusli menghidupkan peluang mara ke suku akhir acara singles lelaki pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Pemain berusia 38 tahun itu mencatat kemenangan penting dengan menewaskan wakil New Zealand Keanu Darby 2-1 menerusi set penentuan selepas kedua-dua pemain terikat 1-1.

Beliau mencatat kemenangan 14-0 pada set pertama, namun tewas 4-6 pada set kedua, sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi set penentuan.

Terdahulu, pada aksi pembukaan Muhammad Soufi tewas 8-7, 7-4 kepada wakil Australia Aaron Teys, sekali gus menutup hari pertama dengan satu kemenangan dan satu kekalahan.

Muhammad Soufi berkata kemenangan ke atas Keanu amat penting dan menjadi tonik kebangkitan selepas kekalahan pada perlawanan sebelah pagi.

“Saya perlukan kemenangan untuk perlawanan kedua ini sebab pagi tadi saya kalah kepada wakil Australia. Jadi, apa pun saya kena naikkan semangat saya balik. Dalam kejohanan ini, kalau dah kalah banyak memang susah nak ke depan,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Soufi yang bakal berdepan tiga lagi perlawanan peringkat kumpulan esok menentang Afrika Selatan, India dan Ireland mengakui pertemuan itu menjadi penentu untuk layak ke suku akhir.

Beliau berkata kekuatan mental menjadi faktor pembeza utama menjelang tiga aksi terakhir kumpulan itu.

“Sekarang saya tak mahu fikir jauh sangat. Saya nak fokus satu demi satu perlawanan sebab semua baki perlawanan akan berlangsung di luar. Jadi, saya kena betul-betul mengkaji garisan di luar itu.

“Nak tak nak kena kuat mental dan fizikal. Sebab semua pemain di tahap ni bagus, yang membezakan cuma sejauh mana kita mampu kawal diri dalam tekanan,” katanya.

Sebagai rekod, hanya dua pemain terbaik bagi setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir bagi acara singles

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan