AM

Keberkesanan Program Kenegaraan, Patriotik Berada Pada Tahap Tinggi - Fahmi 

06/11/2025 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Keberkesanan program kenegaraan dan patriotik anjuran Kementerian Komunikasi berada pada tahap tinggi sekali gus mencerminkan keberhasilan usaha memperkukuh semangat kecintaan kepada negara dalam kalangan rakyat, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Jabatan Penerangan (JAPEN) selaku agensi peneraju telah melaksanakan kajian melibatkan 5,044 responden daripada pelbagai latar belakang, kaum dan peringkat umur dengan hasil dapatan menunjukkan keberkesanan program pada tahap 91 peratus atau bersamaan 4.55 pada Skala Likert.

"Keseluruhan analisis yang dilaksanakan menunjukkan program-program yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran kenegaraan dan semangat patriotisme malah menyemai rasa bangga serta sayang kepada tanah air merentasi pelbagai lapisan masyarakat," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai sejauh mana keberkesanan program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dalam meningkatkan semangat cinta akan negara dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama.

Fahmi berkata penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lepas menyaksikan kehadiran lebih 100,000 pengunjung di Putrajaya termasuk mereka yang berkhemah serta bermalam lebih awal di Presint 2 dan 3 sebagai tanda sokongan.

Bagaimanapun, beliau berkata semangat patriotisme tidak wajar hanya dizahirkan pada bulan Ogos dan September sebaliknya perlu diterapkan secara berterusan dalam kehidupan seharian.

Justeru, Fahmi berkata JAPEN telah memperkenal pelbagai inisiatif sepanjang tahun antaranya program Info on Wheels (IOW), Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) secara modular, pengisian patriotik di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta pembangunan kandungan digital patriotik bagi mendekati kumpulan belia.

Menjawab soalan tambahan Wan Hassan mengenai insiden pemasangan bendera terbalik dan kesilapan visual Jalur Gemilang termasuk penghasilan imej berasaskan kecerdasan buatan (AI), Fahmi berkata ia berpunca daripada kecuaian aspek mekanikal yang perlu diperbaiki bersama.

“Mungkin prompt yang dimasukkan dan penghasilan gambar itu perlu diperbaiki, dan di peringkat komuniti pula, memang sebelum ini kita ada siri penjelasan, penerangan dan modul,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung tahap patriotisme dalam kalangan Generasi Z dan Alpha, Fahmi berkata pendekatan penyampaian perlu disesuaikan mengikut gaya mereka seperti bahasa yang digunakan, tabiat media dan cara mereka menerima maklumat.

“Saya rasa ini antara perkara yang mungkin kita perlu kita teliti. Mereka mungkin tidak lagi membaca surat khabar, mereka banyak berada di media sosial dan mungkin kita kena ke arah media sosial untuk menyampaikan mesej-mesej seperti ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan