EKONOMI

Malaysia Amal Pendekatan Berkecuali Termasuk Bagi Akses CIP AI - MITI

05/11/2025 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia mengamalkan pendekatan berkecuali, inklusif dan berpaksikan kepentingan strategik negara bagi memastikan industri domestik terutama pusat data dapat memanfaatkan kemajuan teknologi terkini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITi) menjelaskan perkara itu termasuk cip kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh blok ekonomi utama dunia seperti Amerika Syarikat (oleh firma NVIDIA) dan China (Huawei Ascend).

“Matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan syarikat dan industri termasuk pusat data yang berpangkalan di Malaysia mempunyai akses yang terkawal, berdaya saing serta selamat kepada cip dan platform AI global, di samping mengekalkan standard keselamatan serta kedaulatan data negara,” tambah MITI menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini

MITI memaklumkan sedemikian bagi menjawan soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai strategi MITI untuk memastikan industri pusat data di Malaysia boleh menggunakan cip AI dari AS dan China.

Menurut kementerian itu bagi mencapai objektif tersebut, beberapa strategi utama sedang dan akan digerakkan, selaras dengan aspirasi berlandaskan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan agenda transformasi digital negara.

“Bagi memastikan persekitaran perdagangan yang selamat dan telus, MITI melalui Akta Perdagangan Strategik 2010, pada 14 Julai, 2025 telah membuat penetapan bahawa semua aktiviti eksport, transit dan pemindahan bagi cip AI memerlukan permit. 

“Langkah ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk menjamin kesinambungan rantaian bekalan semikonduktor global dan menyokong pertumbuhan industri AI domestik secara selamat,” jelasnya.

MITI memaklumkan kerajaan juga melaksanakan dasar kedaulatan AI yang menekankan pembangunan keupayaan tempatan di samping pengintegrasian kawalan teknikal yang ketat. 

“Pendekatan ini membolehkan Malaysia memanfaatkan teknologi AI global dengan jaminan bahawa keselamatan, tadbir urus dan kepentingan strategik negara tetap terpelihara.

“Melalui strategi bersepadu ini, Malaysia dapat menjamin syarikat yang beroperasi di dalam negara termasuk pusat data mempunyai akses terbuka dan menyeluruh kepada cip AI antarabangsa, di samping memperkukuh daya tahan teknologi domestik, meningkatkan keupayaan inovasi tempatan dan mempercepat transformasi digital negara,” menurut MITI.

Menurut MITI kerajaan terus menggalakkan pembangunan teknologi AI tempatan yang mampu menembusi pasaran global.

“Syarikat automasi tempatan seperti Greatech, Vitrox dan Pentamaster telah mula mengintegrasikan AI dalam produk mereka, membuktikan keupayaan Malaysia untuk menyumbang kepada rantaian nilai global dalam bidang AI dan semikonduktor,” menurutnya.

Kementerian itu menjelaskan kerajaan secara berterusan menjalinkan hubungan dengan syarikat teknologi global dan rakan dagang utama bagi memperkukuh akses pasaran serta pemindahan teknologi. 

“Malaysia dan AS juga telah menandatangani Memorandum Kerjasama mengenai Rantaian Bekalan Semikonduktor yang Berdaya Tahan pada 2022 yang masih berkuatkuasa sehingga 2026. Kerajaan akan memanfaatkan kerjasama ini untuk memastikan rantaian bekalan semikonduktor tempatan terpelihara,” tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan