PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan Dr Shamsuri Abdullah sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang baharu berkuat kuasa pada hari ini.
Menerusi kenyataan hari ini, KPT memaklumkan pelantikan bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK itu adalah bagi menggantikan Datuk Mohd Zahari Ismail yang bersara wajib pada 1 Okt.
Menurut KPT, Shamsuri, 57, berkelulusan Sarjana Muda (BSc.) Ekonomi dan Ekonomi Perniagaan daripada Hull University, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Teknologi Maklumat di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah JPPKK, beliau telah menerajui Politeknik Ungku Omar (PUO) sebagai Pengarah,” menurut kenyataan itu.
KPT turut menzahirkan keyakinan bahawa Shamsuri akan terus memacu kecemerlangan politeknik dan kolej komuniti sebagai institusi peneraju pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara.
Kementerian itu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zahari atas jasa dan khidmat bakti beliau menerajui JPPKK sejak 16 Nov 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial