AM

Finas Dekati Pelajar Sekolah Dalam Usaha Lahirkan Generasi Kreatif Masa Depan

04/11/2025 09:24 PM

KANGAR, 4 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) buat julung-julung kalinya menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan peringkat sekolah rendah dan menengah di Perlis melalui penganjuran Prints and Pixels Expo (PriPEx) 2025 dalam usaha memupuk budaya kreatif serta melahirkan bakat baharu dalam bidang perfileman sejak di bangku sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata kerjasama itu penting bagi membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali industri kreatif secara lebih dekat serta memberikan pendedahan kepada peluang kerjaya dalam bidang berasaskan kandungan digital.

"PriPEx ini bersempena dengan Majlis Digital Utilisation and Technology Award (DUTA) Peringkat Negeri Perlis 2025. Kita mahu anak-anak ini melihat bahawa industri kreatif mempunyai masa depan dan kerjaya yang boleh diceburi.

"Melalui penghasilan filem pendek, dokumentari, kandungan TikTok dan media sosial, mereka diberi peluang berkarya sambil mendapat bimbingan daripada penggiat industri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri PriPEx 2025 di Dewan 2020 di sini hari ini.

PriPEx 2025 diadakan selama empat hari bermula semalam.

Azmir Saifuddin berkata penganjuran PriPEx 2025 menjadi platform permulaan kepada FINAS untuk memperluas jaringan kerjasama dengan sekolah dalam melahirkan generasi kreatif yang berfikiran kritis serta berani bereksperimen dengan teknologi baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan