BACHOK, 4 Nov (Bernama) -- Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Gunong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu oleh petugas Klinik Kesihatan Mahligai di sini pada 8.45 pagi tadi.
"Bayi lelaki ini ditemui tanpa berpakaian dan dibalut menggunakan sehelai kain berwarna hijau di dalam rumah yang masih dalam pembinaan oleh orang awam yang berada di lokasi berkenaan.
"Pemeriksaan awal yang dilakukan doktor mendapati bayi lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada bahagian muka disyaki baru dilahirkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohamad Ismail berkata bayi itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab
"Pihak kami menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk segera menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Nurul Aida Jafar di talian 014-2714926 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial