PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) - UMNO belum membincangkan hasrat Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula parti itu, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Setakat ini belum lagi,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai hasrat bekas Ketua Pemuda UMNO itu menyertai semula parti seperti dilaporkan media, selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea Putrajaya 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata beliau sempat bertemu Khairy pada majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu, namun enggan mengesahkan mahupun menafikan dakwaan beliau memberi restu untuk Khairy kembali ke UMNO.
“Saya cuma bertemu beliau di majlis perkahwinan dan tiada sebarang perbincangan dibuat. Apa yang terpapar dalam media adalah berita yang ditulis oleh wartawan dan saya amat menghormatinya.
“Saya tidak mahu menyanggah mana-mana wartawan yang melaporkan perkara itu, seperti mana yang pernah dilakukan oleh seseorang sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Khairy, lebih dikenali sebagai KJ, akan menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Laporan berkenaan menyebut bekas Menteri Kesihatan itu didakwa sudah mendapat ‘restu’ kepimpinan tertinggi UMNO, khususnya Ahmad Zahid, ketika menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis itu, Ahad lepas.
Pada Januari 2023, Khairy dipecat daripada UMNO susulan kritikan beliau terhadap kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU ke-15. Bagaimanapun, sejak itu beliau berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti lain kerana kesetiaannya kepada UMNO.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial