AM

Sultan Ibrahim Bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman Di Riyadh Hari Ini

04/11/2025 02:04 PM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

RIYADH, 4 Nov (Bernama) -- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijadual mengadakan perjumpaan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Al-Yamamah di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim akan disambut dengan istiadat sambutan negara di istana berkenaan sempena lawatan negara selama empat hari ke Arab Saudi, yang turut disusuli dengan majlis santapan negara.

Mengiringi Seri Paduka dalam lawatan ini ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Seri Paduka Baginda tiba di Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di sini pada pukul 12.30 tengah hari semalam. Kunjungan ini merupakan lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak lawatan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.

Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan negara itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

Kenyataan itu memaklumkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 lawatan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Arab Saudi merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan bernilai RM44.74 bilion (USD$9.79 bilion).

Selain aspek ekonomi, hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah, dengan Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah Malaysia saban tahun.

Lawatan ini merupakan lawatan negara kelima oleh Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei dan Rusia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan