EKONOMI

Malaysia Komited Perkukuh Perdagangan Intra-ASEAN Melalui Sistem Pembayaran Serantau - PM Anwar

04/11/2025 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 akan terus memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dengan menggalakkan penggunaan sistem pembayaran Kod Respons Pantas (QR) dan pindahan tunai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia juga akan terus mendorong usaha memperluas kesambungan sistem pembayaran serantau.

“Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah penggunaan sistem pembayaran kod QR dan pemindahan tunai antara negara Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja. Melalui Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), peranan Malaysia dalam sidang ASEAN juga telah diiktiraf.

“Lima negara telah melaksanakannya, dan alhamdulillah, peranan Malaysia dalam sidang ASEAN turut diiktiraf oleh APEC,” kata beliau ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai langkah yang diambil oleh negara anggota ASEAN bagi meningkatkan pelaburan dan nilai perdagangan intra-ASEAN.

Beliau berkata antara kelemahan utama ASEAN ketika ini adalah tumpuan yang masih rendah terhadap perdagangan dan pelaburan antara negara anggota, dan perkara itu menjadi keutamaan Malaysia semasa mempengerusikan ASEAN tahun ini.

Anwar berkata ketika ini perdagangan antara negara anggota ASEAN hanya sekitar 22 peratus dan angka itu perlu dipertingkatkan bagi mengukuhkan integrasi ekonomi serantau.

Penggunaan sistem pembayaran Kod QR dan pindahan tunai telah menunjukkan kemajuan ketara, terutama antara Malaysia, Thailand dan Indonesia, justeru usaha sedang dilakukan untuk memperluas  penggunaannya kepada negara lain, kata beliau.

Perdana Menteri juga menekankan kepentingan projek Grid Tenaga ASEAN yang akan menyambungkan bekalan tenaga dari Vietnam ke Kelantan seterusnya ke Johor dan Singapura, yang disifatkan sebagai pemangkin utama bagi peningkatan perdagangan dan kerjasama tenaga serantau.

“Dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, aspek pelancongan, pelaburan dan perdagangan turut ditekankan bagi memudahkan urusan rentas sempadan,” kata beliau.

Selain itu, Anwar berkata Malaysia turut melaksanakan peranan penting dalam membentuk inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) APEC dengan menekankan nilai kemanusiaan, etika serta jati diri negara masing-masing.

“Inisiatif AI APEC ini merangkumi nilai kemanusiaan dan jati diri setiap negara, dan tidak boleh dipaksakan berdasarkan kerangka program atau kaedah yang ditentukan oleh negara luar,” kata beliau.

Anwar turut berkata Malaysia mengambil peluang untuk membincangkan kerjasama dalam bidang nadir bumi bersama Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan ekonomi strategik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan