EKONOMI

Kenaikan Harga Produk Sawit Dijangka Pacu Pendapatan Huluan Peladang -- HLIB

04/11/2025 10:47 AM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pergerakan harga produk sawit lebih tinggi serta peningkatan bermusim hasil buah tandan segar (BTS) dijangka akan memacu pendapatan huluan kebanyakan syarikat perladangan pada musim bermula pada 5 November, terutamanya bagi tempoh suku ke suku tahun, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

Bank pelaburan itu berkata enam daripada tujuh syarikat perladangan di bawah liputannya, telah mencatat pertumbuhan hasil suku ke suku yang positif pada suku ketiga 2025 (S3 2025), didorong oleh peningkatan bermusim dari segi pola pengeluaran.

“Penghasilan BTS yang lebih tinggi, harga produk sawit yang kukuh dan kos pengeluaran lebih stabil dijangka memacu peningkatan pendapatan huluan syarikat perladangan secara berperingkat,” katanya menerusi kemas kini tinjauan sektornya hari ini.

Pada masa sama, HLIB berkata prestasi hiliran sebaliknya dijangka kekal lembap pada S3 2025 berikutan persaingan berterusan serta lebihan kapasiti penapisan di Indonesia yang terus memberi tekanan ke atas margin penapisan.

Keadaan itu turut dijejaskan oleh kos bahan mentah tinggi serta kesuraman permintaan dalam subsektor oleokimia selain faktor .

Menurutnya, lima daripada tujuh peladang di bawah liputan HLIB mencatat peningkatan hasil BTS yang sederhana bagi S3 2025.

HLIB berkata faktor lain yang mungkin meningkatkan huluan pada S3 2025 adalah wujudnya peningkatan menyeluruh hasil BTS dan harga produk sawit, terutama isirung sawit bersama kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah susulan penurunan harga baja walaupun sebahagiannya telah diimbangi oleh kenaikan gaji minimum Malaysia sejak Februari 2025.

Bank pelaburan itu mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2025 dan 2026 masing-masing pada paras RM4,300 dan RM4,200 satu tan metrik selain mengekalkan saranan “overweight” atau wajaran tinggi terhadap sektor perladangan.

Setakat ini, harga purata MSM adalah pada RM4,351 satu tan.

“Kami lebih cenderung terhadap syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan lebih besar terhadap operasi huluan di Malaysia berikutan kebergantungan ketara terhadap harga MSM serta pendedahan minimum terhadap risiko rampasan tanah,” katanya.

HLIB berkata pemangkin utama yang dapat mempengaruhi harga MSM termasuk keadaan fenomena cuaca La Nina yang lebih buruk daripada dijangkakan dan boleh menjejaskan pengeluaran sawit dan soya di Amerika Selatan selain pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan