KUANTAN, 2 Nov (Bernama) -- Projek pembangunan fasiliti pembuatan "super magnet" bernilai RM600 juta yang bakal dibangunkan di Pahang, dijangka mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkat ekonomi negeri.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek berimpak tinggi itu juga berpotensi menarik minat pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada limpahan ekonomi kepada rakyat setempat.
“Saya mengalu-alukan (pembangunan fasiliti super magnet) kerana apabila ada pelaburan (baharu), kita dapat wujudkan peluang pekerjaan. Ramai orang boleh bekerja dan datang ke Pahang,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Industri Kuantan di di Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuantan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata perkembangan mengenai projek berkenaan akan dibincangkan bersama kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri juga akan memberikan pandangan yang berkaitan dengan industri ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan projek fasiliti super magnet yang bakal dibangunkan JS Link dan Lynas Malaysia di Pahang, dilihat berpotensi untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia, sekali gus mewujudkan potensi baru dalam industri hiliran bagi nadir bumi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial