SUKAN

Pelan Strategik e-Sukan 2026-2030 Kukuh Peranan Malaysia Sebagai Hab Serantau

02/11/2025 05:46 PM

SLIM RIVER, 2 Nov (Bernama) -- Dasar dan polisi pembangunan e-sukan negara akan terus digerakkan secara konsisten di bawah Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2026-2030 bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama e-sukan di rantau ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata pelan itu menjadi kesinambungan kepada pelan induk terdahulu yang dilaksanakan sejak 2019, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memastikan hala tuju e-sukan negara kekal tersusun dan berdaya saing.

“E-sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi industri berpotensi tinggi yang mampu menjana ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta mengharumkan nama negara di peringkat dunia,” katanya kepada pemberita selepas sesi Town Hall Kembara JOM 2.0 Zon Tengah di Dewan Semai Bakti, Felda Gunung Besout 3, dekat Sungkai, hari ini.

Adam Adli berkata pelaksanaan pelan itu akan melibatkan kerjasama menyeluruh antara KBS sebagai peneraju dasar, pihak industri sebagai pemangkin pelaburan, pasukan serta pemain dengan semangat profesionalisme, selain masyarakat sebagai penyokong utama.

Katanya sejak pelaksanaan pelan terdahulu, sektor e-sukan menunjukkan perkembangan memberangsangkan bukan sahaja dari segi pencapaian di peringkat antarabangsa, tetapi juga pembangunan akar umbi, pencungkil bakat baharu dan penyediaan infrastruktur sokongan.

“Malaysia kini diiktiraf Persekutuan e-Sukan Antarabangsa (IESF) sebagai antara pemain utama di pentas global. Malah, negara ini menjadi lokasi kedua selepas Riyadh bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia termasuk World Esports Championship (WEC) serta Mesyuarat Agung IESF,”katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata pengiktirafan itu membuktikan keberkesanan dasar dan perancangan strategik kerajaan dalam membangunkan ekosistem e-sukan negara.

“Jika dahulu kita banyak belajar daripada negara lain, kini banyak pihak luar pula menjadikan Malaysia sebagai rujukan utama dalam bidang e-sukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan