AM

Pesta Kanowit Bukti Kemampuan Satukan Masyarakat Berbilang Kaum

02/11/2025 02:40 PM

SIBU, 2 Nov (Bernama) -- Pesta Kanowit terus membuktikan keupayaan sebagai platform penyatuan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata pesta yang mula dianjurkan pada 2003 itu, kini bukan sahaja menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan penduduk tempatan, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat luar bandar.

“Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi satu gaya hidup yang mesti diterjemahkan melalui rasa faham, hormat, terima dan meraikan kepelbagaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Kanowit 2025 di Pentas Utama Tebingan Kanowit hari ini.

Aaron berkata semangat kebersamaan dan muhibah yang terpancar sepanjang penganjuran pesta itu menjadi cerminan kepada wajah sebenar Malaysia yang harmoni.

“Apabila masyarakat Kanowit yang terdiri daripada pelbagai suku kaum seperti Iban, Melayu, Cina, Melanau dan lain-lain dapat bersatu di bawah satu pesta, ia membuktikan bahawa perpaduan bukan sekadar konsep tetapi realiti yang boleh dicapai apabila kita memilih untuk bersama,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kanowit.

Ini bertepatan dengan aspirasi baharu Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk 2026, yang akan mengangkat konsep pembinaan Negara Bangsa sebagai teras utama dalam memupuk perpaduan rakyat.

“Negara Bangsa bukan sekadar konsep politik atau slogan idealisme, tetapi semangat kesepaduan rakyat yang lahir daripada kesedaran bahawa kita berkongsi satu tanah air, satu nasib dan satu masa depan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya semangat Negara Bangsa terus dipupuk pada setiap daerah termasuk di Kanowit, perpaduan negara akan menjadi lebih kukuh dan bermakna, seterusnya melahirkan generasi rakyat yang bukan sahaja berbangga dengan identiti etnik masing-masing, malah berbangga menjadi sebahagian dari Malaysia.

“Inilah visi besar yang ingin kita gerakkan dari Kanowit ke seluruh Malaysia, membina negara bangsa yang bersatu, berdaulat dan sejahtera,” katanya.

Pesta itu yang berlangsung sejak 18 Okt lepas, menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti Kanowit RC Boat Race Challenge, Kanowit Power Boat Race, pameran jabatan dan agensi kerajaan, Unity Walk, Perarakan Gagong, Gendang Pampat, serta Pertandingan Ratu Pesta Kanowit.

Pesta itu turut berperanan mempromosikan Daerah Kanowit sebagai destinasi pelancongan luar bandar dengan slogan “Where Memories Are Made”, menggambarkan kenangan indah yang dibawa setiap pengunjung.

Beliau turut menyeru supaya program seperti Pesta Kanowit terus diperkasakan dengan penyertaan aktif masyarakat setempat termasuk golongan belia, komuniti seni dan sektor pelancongan bagi menjadikan Kanowit sebagai model perpaduan luar bandar.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan