KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye menggesa pelaksanaan pendekatan lebih holistik bagi menangani peningkatan kes jenayah seksual membabitkan golongan di bawah umur.
Beliau yang menyifatkan ia sebagai krisis moral dan sosial serius berkata peningkatan kes seumpama itu mencerminkan keruntuhan kawalan sosial, kemerosotan nilai moral serta kurangnya kefahaman dalam kalangan remaja mengenai harga diri dan tanggungjawab.
“Faktor utama yang menyumbang termasuk terlalu banyak pendedahan terhadap kandungan lucah dan tidak bermoral di media sosial, pengaruh rakan sebaya, kurangnya pengawasan ibu bapa serta ketiadaan pendidikan seks dan moral menyeluruh di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata kanak-kanak dan remaja kini begitu mudah mengakses bahan yang tidak sesuai melalui telefon pintar masing-masing tanpa kawalan atau bimbingan sewajarnya.
Kurangnya perhatian, kasih sayang, dan komunikasi dalam sesebuah keluarga turut menyumbang kepada masalah berkenaan.
“Ramai anak muda yang tidak mendapat kasih sayang atau bimbingan sewajarnya di rumah cuba mencari perhatian di luar dan akhirnya terjebak dalam hubungan berisiko, malah ada yang menjadi mangsa atau pelaku jenayah seksual,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Lee mencadangkan pendidikan seks dan moral yang menyeluruh diperkenalkan di sekolah, bukan tertumpu kepada aspek biologi sahaja tetapi turut memberi penekanan terhadap menghormati tubuh badan sendiri, sempadan peribadi serta tanggungjawab sosial.
Beliau berkata ibu bapa perlu dilengkapi pengetahuan untuk mengenal pasti perubahan tingkah laku anak-anak serta memantau penggunaan Internet dan media sosial.
Lee turut menggesa Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperhebat langkah pencegahan di sekolah dan komuniti.
“Ini termasuk memperkukuh pendidikan berasaskan nilai, memperluas perkhidmatan kaunseling, menempatkan petugas terlatih bagi intervensi awal serta bekerjasama rapat dengan ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Hanya melalui usaha bersepadu, kita dapat melindungi generasi muda dan menjamin masa depan yang lebih selamat untuk semua,” katanya.
Kesejahteraan moral dan mental generasi muda hari ini bakal penentu masa hadapan negara dan usaha membanteras jenayah seksual membabitkan golongan di bawah umur perlu dianggap sebagai keutamaan nasional dengan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial