AM

Dasar Lestari, Piawaian MSPO Bukti Komitmen Malaysia Lindungi Habitat Orang Utan

01/11/2025 08:52 PM

TAIPING, 1 Nov (Bernama) -- Malaysia memperkenalkan pelbagai dasar dan piawaian lestari sejak sekian lama termasuk Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mewajibkan perlindungan kawasan Nilai Konservasi Tinggi (HCV), pengawalan pembukaan hutan serta pemulihan koridor hidupan liar. 

Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berkata naratif orang utan sering dijadikan simbol kempen alam sekitar oleh pihak tertentu yang mahu menggambarkan industri sawit sebagai punca utama kemusnahan hutan, bersifat berat sebelah dan perlu diperbetulkan.

“Statistik menunjukkan lebih 50 peratus habitat orang utan di Sabah dan Sarawak kini berada dalam kawasan perlindungan dan sebahagian besar pembiayaan konservasi datang daripada hasil industri sawit melalui inisiatif seperti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Sawit Kinabalu dan syarikat tempatan lain.

“Orang utan bukan alat serangan terhadap sawit, sebaliknya bukti industri sawit mampan mampu menjadi rakan strategik dalam menjaga alam,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025 di Zoo Taiping & Night Safari di sini hari ini.

Justeru, Yusran Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF menegaskan sambutan Hari Orang Utan Sedunia yang diadakan setiap tahun bukan sekadar acara simbolik, tetapi  kenyataan bahawa Malaysia komited terhadap keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan biodiversiti.

Beliau berkata MPOGCF sebagai entiti amanah di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi memainkan peranan penting menjajarkan sektor sawit dengan agenda konservasi, yang bukan hanya menjaga imej minyak sawit negara malah membuktikan kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam boleh bergerak seiring.

Beliau juga menjelaskan Hari Orang Utan Sedunia disambut setiap 19 Ogos, namun sambutan kali ini dibuat hari ini berikutan beberapa kekangan.

“Walaupun habitat orang utan hanya di Sabah dan Sarawak, sambutan di Semenanjung amat penting bagi menanam rasa pemilikan bersama. Pemuliharaan orang utan tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sambutan tahun ini menyaksikan kerjasama kali pertama antara MPOGCF dan Zoo Taiping & Night Safari yang sinonim dengan pemuliharaan hidupan liar negara.

Sambutan dimeriahkan pameran oleh rakan strategik seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU), Sawit Kinabalu, Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). 

Acara utama sambutan termasuk Fun Walk 2.5 kilometer dalam kawasan zoo disertai lebih 500 peserta yang melibatkan mereka perlu melalui beberapa tempat pemeriksaan untuk menjawab kuiz berkaitan orang utan dan industri sawit serta pertandingan mewarna dengan penyertaan hampir 200 kanak-kanak.

Sementara itu, Yusran Shah berkata MPOGCF turut memperkenalkan inisiatif Diplomasi Orang Utan (OUDip) iaitu program pemuliharaan in-situ yang membolehkan orang utan bergerak bebas tanpa ancaman manusia, operasi perladangan mahupun aktiviti pelancongan.

“Baru-baru ini, MPOGCF menyalurkan sumbangan RM20,000 bagi pelaksanaan OUDip dan hasil jualan tiket Fun Walk hari ini juga akan disumbangkan ke tabung tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan