AM

Bahas Belanjawan 2026 Peringkat Dasar Selesai, Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Jadi Tumpuan

31/10/2025 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Sidang Dewan Rakyat minggu keempat berakhir dengan perbincangan sarat hujah, daripada isu fiskal hingga geopolitik yang menyaksikan perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026, selesai pada Selasa.

Ia diikuti dengan sesi penggulungan oleh menteri-menteri daripada 14 kementerian bermula Rabu, antaranya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perdana Menteri.

Berdasarkan takwim Parlimen, penggulungan Belanjawan 2026 di peringkat dasar dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 29 Okt hingga 4 Nov sebelum diteruskan dengan perbahasan peringkat Jawatankuasa selama 14 hari bermula 5 Nov.

Turut menjadi tumpuan Ahli Parlimen ialah kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan pada 26 hingga 28 Okt lepas, yang disifatkan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selain membuktikan kemampuan Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi blok serantau itu.

Berikutan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke persidangan berprestij itu, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) yang diperuntukkan kepada Perdana Menteri pada Selasa lepas digantikan dengan sesi MQT biasa oleh menteri-menteri.

Bagaimanapun pada sesi MQT semalam, Anwar tampil memberi penjelasan tentang kejayaan penganjuran sidang berprofil tinggi itu, dengan menegaskan bahawa setiap pertemuan bersama pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dimanfaatkan sepenuhnya.

Anwar berkata pertemuannya dengan Trump, sama ada secara rasmi mahupun peribadi, digunakan sepenuhnya untuk mendesak langkah penyelesaian menyeluruh terhadap isu Gaza selain berbincang pelbagai isu serta mengukuhkan kerjasama diplomatik dan ekonomi, demi kepentingan negara dan rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa istilah comprehensive settlement atau comprehensive solution (penyelesaian menyeluruh) digunakan bagi menekankan bahawa penyelesaian sebenar terhadap konflik di Gaza perlu bersifat menyeluruh, bukan sekadar gencatan senjata tanpa mengiktiraf hak kedaulatan rakyat Gaza dan Palestin.

“Secara rasmi, saya membangkitkan isu ini sebanyak tiga kali dan mendapat liputan media. Manakala dalam The Beast (kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat), ia merupakan perbualan empat mata yang bersifat peribadi.

“Dalam tiga kesempatan rasmi itu, saya menegaskan tentang perlunya ‘penyelesaian menyeluruh terhadap masalah Gaza dan Palestin’,” katanya.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN berikutan keperluan negara menarik pelaburan dan memperkukuh perdagangan dengan AS.

Beliau berkata perjanjian itu mengandungi klausa keluar (klausa untuk menamatkan perjanjian) dan menegaskan bahawa dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan kedaulatan perdagangan kepada AS adalah tidak berasas.

Terdahulu, dalam sesi penerangan menteri pada Rabu, isu berkaitan perjanjian ART telah diperincikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang menegaskan Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, mengamalkan pendekatan whole-of-government dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara dilindungi dalam memuktamadkan rundingan perjanjian itu.

Beliau menegaskan pasukan perunding negara tidak berganjak dalam perkara berkaitan red line (isu yang tidak boleh dikompromi) khususnya hak bumiputera, dasar perolehan kerajaan serta tuntutan liberalisasi ekuiti penuh bagi sektor strategik seperti tenaga dan telekomunikasi.

“Ini soal maruah dan kedaulatan negara. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kerajaan tidak akan sekali-kali mengizinkan kedaulatan kita diganggu-gugat,” katanya.

Di sebalik perbahasan penuh ilmiah, persidangan minggu ini turut diselangi beberapa ‘insiden’ kekecohan dan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, termasuk kenyataan segelintir wakil rakyat yang disifatkan menghina penjawat awam.

Berikutan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan menghina penjawat awam.

Selain itu, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, bertujuan memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang terlibat dalam kemalangan di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bagi Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan