EKONOMI

Pertemuan AS-China Selari Dengan Aspirasi ASEAN - Mohamed Khaled

30/10/2025 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan rakan sejawatnya dari China Xi Jinping hari ini seharusnya dialu-alukan sebagai perkembangan baik bagi masyarakat antarabangsa.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pertemuan itu adalah perkembangan positif memandangkan kerjasama antara kedua-dua negara berkenaan secara langsung selari dengan aspirasi rantau ASEAN terhadap keamanan dan kemakmuran.

Beliau berkata pertemuan itu juga perkembangan positif untuk masyarakat global kerana dalam dunia yang saling berhubung tanpa sempadan serta berteraskan perdagangan bebas, cabaran yang dihadapi oleh mana-mana negara boleh memberi kesan kepada negara lain.

“Amerika, yang sejak sekian lama dikenali sebagai pendukung keamanan dan China, sebuah negara yang percaya kepada kemakmuran jiran, masing-masing penyokong kepada cita-cita berkenaan.

“Malaysia memilih Kesepakatan ASEAN untuk Keamanan dan Kemakmuran kerana kedua-dua perkara ini (keamanan dan kemakmuran) amat penting. Pertemuan ini adalah selari dengan apa yang Malaysia impikan, atau apa yang ASEAN impikan,” katanya pada sidang media selepas tinjauan persiapan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di sini hari ini.

Terdahulu hari ini, Trump dan Xi mengakhiri pertemuan peringkat tinggi mereka apabila Trump berlepas ke Washington selepas lebih sejam pertemuan di Busan, Korea Selatan.

Mohamed Khaled turut menekankan usaha diplomatik Trump, termasuk menyokong perjanjian damai Thailand-Kemboja, menangani konflik di Gaza serta berusaha menyelesaikan ketegangan antara Rusia dan Ukraine sebagai bukti komitmen AS terhadap keamanan global.

“Seperti yang kita lihat, Presiden Trump datang ke sini kerana beliau mahu memastikan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja dimeterai. Beliau turut bercakap mengenai Gaza, beliau mahu menamatkan konflik itu. Beliau juga berusaha menamatkan pertikaian antara Rusia dan Ukraine,” katanya.

Trump dilihat berlepas dengan pesawat Air Force One di Pangkalan Udara Gimhae, Busan sekitar pukul 1.07 tengah hari waktu tempatan (waktu Malaysia 12.07 tengah hari).

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan