Daripada Nor Baizura Basri
GYEONGJU (Korea Selatan), 29 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terus memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan kejayaan Malaysia memainkan peranan penting dalam memeterai perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, minggu lepas.
Bercakap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC CEO Sumit Korea 2025) hari ini, Trump menyifatkan konflik antara kedua-dua negara itu sebelum ini sebagai “terlalu panas dengan peluru berterbangan di merata tempat”.
Namun, katanya hasil bantuan dan kebijaksanaan diplomasi Malaysia, rundingan damai berjaya dimuktamadkan di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur, Ahad lepas.
“Selepas kira-kira dua hari, dengan bantuan Malaysia yang bertindak sebagai pengantara, kita berjaya menamatkan rundingan itu. Kami menggunakan kemudahan yang sangat baik di Malaysia.
“Malaysia hebat dan banyak membantu dalam pelaksanaan perjanjian itu. Perdana Menteri (Anwar) juga seorang yang hebat. Saya baru sahaja meninggalkan beliau dan dalam tempoh dua hari, perjanjian itu ditandatangani.
“ Kedua-dua pihak (Thailand dan Kemboja) datang seperti sahabat karib. Ia satu pemandangan yang indah untuk disaksikan — kita mungkin telah menyelamatkan berjuta nyawa,” katanya dalam ucapan itu.
Perjanjian damai bersejarah yang dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan disaksikan oleh Trump dan Anwar sebagai saksi rasmi.
Trump kini berada pada peringkat akhir lawatan ke Asia selepas mengunjungi Malaysia dan Jepun.
Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, esok bagi membincangkan isu tarif sebelum Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) bermula Jumaat ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengetuai delegasi Malaysia ke AELM dan dijangka tiba di sini esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial