IPOH, 29 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, hari ini berkenan merasmikan Sunway Medical Centre Ipoh yang melibatkan pelaburan melebihi RM430 juta.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Keberangkatan tiba pasangan diraja itu disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Turut hadir, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah serta Presiden Sunway Healthcare Group Datuk Lau Beng Long.
Dalam majlis tersebut, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut dibawa meninjau kemudahan di pusat perubatan itu.
Terdahulu dalam sembah ucapannya, Saarani berkata dengan terbinanya hospital-hospital moden seperti Sunway Medical Centre Ipoh, terbukalah peluang bagi graduan tempatan menimba ilmu dan pengalaman klinikal di Perak.
“Di sinilah mereka membina kerjaya, menyumbang bakti dan menegakkan hasrat agar Perak terus berdiri megah dengan kekuatan anak jatinya sendiri.
“Bagi kerajaan negeri, pelaburan seperti ini bukan hanya bernilai dari sudut ekonomi, tetapi mencerminkan misi kemanusiaan yang lebih besar, memastikan rakyat Perak mendapat akses kepada rawatan yang adil, berkualiti dan berperikemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Lau Beng Long ketika berucap pada majlis itu berkata pelancaran Sunway Medical Centre Ipoh itu, menandakan satu pencapaian penting bagi Sunway Healthcare Group, yang merupakan hospital tertiari kelima di bawah Sunway dengan pelaburan melebihi RM430 juta.
“Sebagai sebahagian daripada visi kami untuk memperluas perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti di seluruh Malaysia dan rantau ini, hospital di Perak ini direka untuk menyediakan penjagaan bertaraf dunia kepada penduduk Ipoh, wilayah utara dan seterusnya,” katanya.
Lau berkata dengan pelancaran Sunway Medical Centre Ipoh, pihaknya berbangga memperkenalkan pengimbas PET-CT pertama di Perak, serta sistem Mako SmartRobotics bagi tujuan diagnostik kanser berteknologi tinggi dan pembedahan penggantian lutut serta pinggul menggunakan robotik.
Beliau berkata teknologi tercanggih itu, bersama kemudahan moden seperti Pusat Kanser dan Pusat Perubatan Nuklear yang khusus, menjadikan Sunway Medical Centre Ipoh sebagai hab kecemerlangan perubatan dan penjagaan kesihatan, selaras dengan aspirasi Ipoh untuk menjadi bandar kesihatan menjelang tahun 2025.
“Komitmen kami di sini bukan sahaja untuk menyediakan rawatan dan kemudahan perubatan yang canggih, tetapi juga untuk membina persekitaran holistik, dengan kecemerlangan klinikal dilengkapi dengan belas ihsan, keselamatan dan inovasi.
“Dengan kapasiti semasa sebanyak 259 katil serta perancangan bagi pengembangan pada masa hadapan, Sunway Medical Centre Ipoh akan berfungsi sebagai hab penjagaan kesihatan menyeluruh dan kemudahan kediaman warga emas, merangkumi perkhidmatan rawatan akut, pakar, kesejahteraan serta penjagaan pencegahan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya yakin hospital itu akan meningkatkan lagi pengalaman pesakit dan pelawat, kerana lokasinya yang strategik di Sunway City Ipoh, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 1,350 ekar, di tengah kehijauan tropika dan berlatarbelakangkan banjaran batu kapur berusia 260 juta tahun di Lembah Kinta.
Lau berkata ketika ini terdapat 1,700 katil di seluruh Sunway Healthcare Group dan dengan pelan pengembangan dalam beberapa tahun akan datang di lima hospital sedia ada, jumlah itu akan meningkat kepada 2,400 katil, sebelum mencapai 3,400 katil menjelang tahun 2032.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial