PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Persaraan bukan penamat kepada khidmat penjawat awam, sebaliknya merupakan permulaan baharu untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sumbangan dan pengalaman pegawai kanan kerajaan wajar diteruskan melalui perkongsian ilmu serta bimbingan kepada generasi baharu dalam perkhidmatan awam.
“Persaraan sebenarnya adalah satu permulaan yang penting. Kini persepsi terhadap dunia persaraan telah berubah.
“Bagi sesetengah pihak, ia mungkin dianggap sebagai satu pembebasan. Akhirnya tidak perlu lagi ‘clock in’. Namun saya berharap hubungan yang telah terjalin selama ini tidak terputus,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Ni Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi berkata hubungan antara bekas pegawai dan warga kerja sedia ada perlu dikekalkan bagi memastikan kesinambungan nilai kerja, budaya integriti dan semangat setiakawan dalam organisasi.
Beliau menegaskan penghargaan terhadap jasa penjawat awam tidak seharusnya terhenti selepas tempoh perkhidmatan, sebaliknya perlu diteruskan dengan mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat.
Seramai 114 pesara daripada agensi dan jabatan di bawah Kementerian Komunikasi diraikan dalam majlis itu sebagai tanda penghargaan terhadap bakti mereka sepanjang perkhidmatan, selain mengiktiraf legasi serta inspirasi yang ditinggalkan kepada generasi penerus.
Antara penerima sijil penghargaan yang disampaikan Fahmi hari ini ialah bekas Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus, Setiausaha Pejabat Ketua Pengarang Bernama Sharifah Munirah Syed Abdullah dan bekas Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu Sabri Mansor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial