DUNIA

Presiden Marcos Puji Peranan Proaktif Malaysia Menerajui ASEAN Di Sebalik Cabaran Global

29/10/2025 02:06 PM

Oleh Linda Khoo & Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr memuji peranan proaktif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,  menyifatkannya sebagai “agenda yang amat menyeluruh” yang mencerminkan kepimpinan Kuala Lumpur dalam mengemudi blok serantau itu menghadapi pelbagai cabaran global.

“Beliau (Anwar) berjaya melaksanakan sebahagian besar, jika tidak semua, daripada apa yang telah dirancangnya… Beliau memastikan kami semua sentiasa sibuk.

“Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN merupakan satu langkah penting. Ia sejajar dengan hasrat kami (ASEAN) untuk bersifat inklusif dan mempunyai seberapa ramai rakan kerjasama yang boleh,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.

Marcos berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir pada Selasa.

Beliau turut menggesa ASEAN agar meluaskan jalinan kerjasama melangkaui rakan tradisional dengan melibatkan negara baharu yang berkongsi visi terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Marcos berkata rangkaian ASEAN yang semakin berkembang di bawah Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) menggambarkan perluasan capaian diplomatik rantau ini yang melangkaui rakan sedia ada dan anggota penuhnya.

“Kita mempunyai banyak sekutu yang telah menandatangani TAC, dan ia kekal sebagai bidang yang terus kita bangunkan,” katanya.

Beliau menambah bahawa ASEAN perlu memberi tumpuan kepada penglibatan dengan “rakan bukan tradisional” dalam bidang perdagangan, geopolitik dan diplomasi bagi memastikan blok ini kekal relevan serta berdaya tahan - satu langkah penting untuk menggerakkan aspirasi ASEAN ke hadapan dalam dunia yang semakin tidak menentu akibat pergolakan geopolitik, perubahan iklim dan kemajuan teknologi pesat.

Marcos berkata hubungan antara Filipina dan Malaysia juga telah berkembang dengan ketara, menekankan pentingnya kepercayaan serta komunikasi terbuka antara kedua-dua pemimpin.

Menyifatkan hubungannya dengan Anwar sebagai “terbuka dan mudah”, beliau berkata pendekatan seperti itu membolehkan kedua-dua pihak menangani hal ehwal dua hala dengan ketelusan dan rasa hormat bersama.

“Dari segi peribadi, kami bersahabat baik. Namun kami tidak membenarkan isu lain menghalang usaha untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Hubungan diplomatik antara Filipina dan Malaysia telah terjalin sejak 1959 apabila Manila menubuhkan perwakilan di Kuala Lumpur, yang kemudiannya dinaik taraf kepada konsulat pada 1964. Sejak itu, kedua-dua negara mengekalkan hubungan yang berteraskan saling menghormati dan kerjasama erat.

Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina pada Selasa, dengan Anwar secara simbolik menyerahkan tukul kepada Marcos, menandakan permulaan kepimpinan Manila pada 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan