Oleh Karina Imran, Harizah Hanim Mohamed and Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pemeteraian perjanjian kerjasama ekonomi antara negara-negara ASEAN dan rakan strategik menggariskan peranan penting blok itu dalam memperkukuh perpaduan dan kepusatannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) kekal penting, Pengerusi ASEAN 2025 itu turut menekankan bahawa blok tersebut akan terus meningkatkan kerjasamanya dengan pasaran lain, terutamanya dalam mengekalkan keamanan dan pertumbuhan ekonomi serantau.
Menjawab soalan mengenai perbualan dengan Trump semasa menaiki kereta Presiden AS itu yang dikenali sebagai ‘The Beast’ pada 26 Oktober, Anwar berkata beliau telah membangkitkan isu tarif timbal balas yang tinggi dikenakan oleh Washington dan isu lain yang berkaitan dengan keamanan dan keselamatan.
“Saya ada menyebut bahawa 19 peratus masih tinggi dan kami membincangkan kadar tarif sifar ke atas produk terpilih,” kata beliau pada sidang media Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini.
Anwar berkata beliau turut memberitahu Trump bahawa Malaysia terbuka untuk perbincangan perdagangan dengan AS mengenai unsur nadir bumi (REE), semikonduktor dan isu maritim, selain mengekalkan hubungan perdagangan dengan negara-negara utama lain.
Mengenai Protokol Naik Taraf Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, beliau berkata ia mencerminkan kepusatan ASEAN dalam menggalakkan keamanan serantau dan diplomasi ekonomi.
“ASEAN merupakan antara rantau yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia dan negara-negara lain tertarik untuk memperkukuh hubungan dengan blok ini,” kata beliau.
Terdahulu, Anwar menyerahkan tukul kepada Presiden Ferdinand R. Marcos Jr, yang menjadi simbolik pemindahan kuasa secara rasmi sekali gus membuka lembaran baharu bagi kepimpinan Filipina dalam ASEAN pada 2026.
Mengenai Sidang Kemuncak Asia Timur yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Anwar berkata ia merupakan usaha perkumpulan itu untuk menyediakan platform perbincangan antara kuasa-kuasa besar seperti AS, China, Rusia dan negara-negara ASEAN.
“Terdapat kesediaan untuk terlibat dan mendengar. Mereka mungkin bersetuju atau tidak bersetuju tetapi terdapat pendirian (yang jelas) dan konsensus dalam ASEAN ialah memastikan terdapat kerjasama,” kata beliau.
Mengenai isu keselamatan serantau, Anwar menekankan pendekatan Malaysia dalam mengekalkan hubungan yang seimbang dengan semua rakan kongsi utama melalui pelbagai latihan ketenteraan seperti dengan Australia, New Zealand dan Singapura serta kerjasama maritim dengan China.
“Bagaimanapun Malaysia, sekurang-kurangnya dari segi pakatan maritim kita, tidak akan sesekali membenarkan kehadiran mana-mana pasukan tentera yang dianggap bersifat provokatif terhadap pihak lain kerana ia tidak selaras dengan dasar kepusatan kita,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial