AM

Akta 588: Kerajaan Fail Rayuan, Keputusan Mahkamah Rayuan Terpakai Sebelum Pindaan Seksyen 233 - Fahmi

28/10/2025 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan telah memfailkan permohonan kebenaran rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata bagaimanapun keputusan Mahkamah Rayuan tersebut adalah terpakai terhadap peruntukan Seksyen 233 sebelum pindaan Akta 588 dibuat.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan pada tahun lepas telah meminda Seksyen 233 dengan menggantikan perkataan “jelik” kepada “jelik melampau”, bagi menetapkan tanda aras yang lebih tinggi untuk menjadikan sesuatu perbuatan itu sebagai satu kesalahan.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut pada 19 Ogos lepas.

“Kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan ini dan telah menelitinya dari aspek perlembagaan serta undang-undang. Atas nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC), kerajaan kini telah memfailkan permohonan kebenaran rayuan ke Mahkamah Persekutuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan Syahredzan Johan (PH–Bangi) mengenai pendirian dan tindakan kerajaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” di bawah Seksyen 233 Akta 588.

Beliau menegaskan bahawa pindaan terhadap Seksyen 233 adalah langkah penambahbaikan sejajar dengan amalan terbaik, supaya seksyen berkenaan tidak disalahgunakan, dan ia tidak melibatkan sebarang isu perlembagaan.

Menurutnya, pindaan tersebut tidak memprejudiskan sebarang tindakan yang telah diambil, dan perkara itu tertakluk kepada pertimbangan AGC untuk menentukan tindakan terhadap pendakwaan yang telah difailkan.

“Pada masa sama, bagi kes-kes yang sedang berjalan, keputusan berhubung tindakan lanjut juga diserahkan kepada AGC,” katanya.

Fahmi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) mengenai kesan terhadap kes-kes yang masih dalam perbicaraan susulan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan Seksyen 233 Akta 588.

“Di peringkat kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, kami berpandangan bahawa pindaan terhadap Seksyen 233 telah menetapkan aras yang jauh lebih tinggi iaitu ‘jelik melampau’ dan bukan sekadar ‘jelik’. Pada masa sama, terdapat enam huraian dalam Seksyen 233 bagi panduan pendakwa raya, pihak pembelaan serta mahkamah dalam proses penghakiman,” katanya.

Pada 19 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim memutuskan bahawa perkataan “offensive” dan “annoy” dalam Seksyen 233 adalah tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, panel itu menetapkan keputusan tersebut hanya berkuat kuasa secara prospektif (ke hadapan), bagi mengelakkan implikasi terhadap kes-kes lampau.

Keputusan itu dibuat selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah Gaik Li yang memfailkan saman bagi mencabar kesahihan sebahagian peruntukan Seksyen 233 dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum pindaan dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan