AM

Minat Terhadap TVET Meningkat Konsisten Sejak Lima Tahun Lepas - KESUMA

28/10/2025 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Minat terhadap aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menunjukkan trend peningkatan konsisten sejak lima tahun kebelakangan ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata peningkatan itu didorong oleh pelaksanaan portal permohonan berpusat UPTVET yang dibangunkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai sebahagian daripada pembangunan data raya TVET di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Portal ini berfungsi sebagai satu ‘single window’ seumpama sistem kemasukan universiti berpusat (UPU Online) bagi menyelaras pengambilan ke semua institusi TVET awam dan swasta.

“Sejak dilancarkan pada 20 Mei 2024, UPTVET Perdana telah menguruskan 23,038 tawaran bagi ambilan 2025, manakala UPTVET Fasa mencatatkan 67,332 permohonan melibatkan 53,550 pemohon daripada 737 institusi. Sehingga kini, sebanyak 56,896 tawaran telah dikeluarkan dan 30,206 pelajar telah memulakan latihan mereka.

“Kajian Sumber Manusia Jabatan Tenaga Manusia (JTM) mendapati kadar pengambilan pelajar baharu bagi program sepenuh masa meningkat daripada 8,036 orang pada 2020 kepada 9,708 orang pada 2025, dengan purata peningkatan tahunan sebanyak 4.2 peratus,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan berdasarkan data yang membuktikan minat terhadap aliran TVET semakin diminati oleh pelajar sejak lima tahun kebelakangan ini serta perancangan menyediakan pekerja berkemahiran memenuhi keperluan industri selari dengan Strategi B1.8.

Strategi B1.8 dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) adalah untuk memperkukuh ekosistem TVET bagi meningkatkan kualiti dan daya saing sumber manusia yang berkemahiran.

Strategi ini juga memastikan sistem TVET yang lebih terintegrasi, relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja, serta mampu menyokong pertumbuhan ekonomi yang berteraskan kemahiran tinggi dan inovasi.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata Kajian Kebolehpasaran Graduan 2025 menunjukkan 95.5 peratus graduan JTM berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, sekali gus menggambarkan keyakinan terhadap kualiti latihan yang dijalankan.

Pada masa sama, katanya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah merangka pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan lagu ekosistem TVET, termasuk perluasan Akademi Dalam Industri (ADI) yang kini melibatkan 1,687 syarikat, 237 pusat latihan swasta dan 67 pusat latihan awam.

Beliau berkata selain itu kerajaan juga memperkukuh Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dengan menyelaraskan Standard Kemahiran Kebangsaan (NOSS) dengan teknologi baharu seperti automasi, kecerdasan buatan, tenaga hijau dan digitalisasi.

Menjawab soalan tambahan Zahir mengenai penggubalan undang-undang TVET, Menteri berkata Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Parlimen kali ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan