SUBANG JAYA, 28 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperhebat libat urus dengan sektor swasta dan pakar serantau bagi memperkukuh rangka kerja tadbir urus serta menangani persepsi negatif terhadap rasuah di Malaysia dan seluruh ASEAN.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Malaysia selaku pengerusi Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) dalam memupuk integriti melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta, bukan hanya penguatkuasaan semata-mata.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman Malaysia memperlihatkan bahawa jurang kefahaman antara komuniti perniagaan dan sektor awam sering mencetuskan tanggapan salah mengenai rasuah, sedangkan isu sebenar berpunca daripada kelemahan dalam sistem tadbir urus dan kepatuhan kawal selia.
“Apabila sektor swasta tidak memahami sepenuhnya bagaimana sektor awam beroperasi, khususnya dari segi undang-undang dan prosedur, ia boleh menimbulkan persepsi negatif. Kadangkala bukan soal rasuah, tetapi jurang dalam tadbir urus,” katanya.
Azam berkata demikian pada sidang media selepas majlis pembukaan dan penyerahan tugas Pengerusi Mesyuarat Ketua-Ketua ASEAN-PAC ke-21 di sebuah hotel di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Kepengerusian ASEAN-PAC daripada Naib Presiden Pengerusi Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia Fitroh Rohcahyanto kepada Azam.
Azam berkata sebagai pengerusi ASEAN-PAC, Malaysia telah mewujudkan beberapa pasukan petugas termasuk pasukan yang dikhaskan untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memupuk persefahaman mengenai suasana perniagaan dan tadbir urus.
“Kita berusaha ke arah pembaharuan yang mempertingkatkan tadbir urus dan pematuhan merentas ASEAN supaya setiap negara anggota boleh menerima pakai dasar yang sama dalam ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Beliau menekankan bahawa aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 perlu bertunjangkan integriti.
“Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, membasmi rasuah perlu dilakukan. Namun di luar penguatkuasaan, kita mesti memperbaharui rangka kerja undang-undang dan tadbir urus bagi memastikan kestabilan institusi,” katanya.
Azam berkata Malaysia menerusi ASEAN-PAC akan mengundang pakar daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Akademi Antirasuah Antarabangsa (IAC) serta 11 negara anggota ASEAN untuk berkongsi pandangan serta cadangan dasar pada mesyuarat selama tiga hari itu.
“Sesi ini bukan sekadar perbincangan tetapi juga bertujuan mencapai kesepakatan mengenai pelan tindakan yang akan dilaksanakan oleh semua negara anggota ASEAN.
“Kita perlu faham bahawa pematuhan terhadap tadbir urus adalah sama penting dengan kecekapan pelaksanaan dalam membanteras gejala rasuah,” katanya.
Beliau sekali lagi mengulangi komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN-PAC 2025-2026 untuk memastikan kerjasama serantau dan penyelarasan dasar diteruskan dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan pembanterasan rasuah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial