JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Briged Utara Serbu Kilang Proses E-waste Libat Rampasan RM22.35 Juta

28/10/2025 12:17 PM

BUKIT MERTAJAM, 28 Okt (Bernama) -- Polis menahan enam individu termasuk lima warga asing dan merampas pelbagai barangan memproses serta sisa komponen elektronik (e-waste) bernilai lebih RM22.35 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Jalan Bukit Tambun, Juru di sini semalam.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Shahrum Hashim berkata serbuan menerusi Op Hazard dari 9 pagi hingga 6 petang dilakukan susulan intipan oleh Cawangan Risik Batalion 2 PGA.

Mereka ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan, masing-masing seorang lelaki dan wanita warga China serta tiga wanita Myanmar berusia dari 22 hingga 55 tahun.

“Pemeriksaan dalam kawasan kilang menemukan lima jentera forklift, masing-masing sebuah mesin extruder, kompresor dan penapis sisa buangan, 10 mesin pencuci sisa buangan dan 250 beg jumbo mengandungi e-waste dianggarkan seberat 250,000 kilogram (kg).

“Turut dirampas 300 beg jumbo berisi e-waste siap dilerai (150,000 kg), 10 longgokan e-waste siap dilerai (10,000 kg), 30 beg jumbo e-waste siap diproses (24,000 kg), wang tunai RM6,147 dan sebuah lori treler berisi 20,000 kg sisa elektronik siap dilerai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrum berkata operasi dilakukan dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah. 

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 (1A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 dengan suspek diserahkan kepada IPD Seberang Perai Tengah manakala rampasan kepada JAS.

Beliau berkata Briged Utara PGA akan terus mempergiat rondaan serta pengawasan di sekitar Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi mengekang jenayah pemprosesan sisa e-waste.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan