AM

Perkukuh Pentadbiran Kehakiman Syariah Selaras Aspirasi Malaysia MADANI

27/10/2025 10:34 PM

SHAH ALAM, 27 Okt (Bernama) -- Persidangan Penolong Pegawai Syariah dan Pembantu Syariah 2025 merupakan platform strategik bagi memperkukuh hala tuju pentadbiran kehakiman syariah agar selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata persidangan selama tiga hari bermula hari ini itu menumpukan kepada empat dimensi atau matlamat antaranya menyatukan aspirasi dan semangat warga kehakiman syariah.

“Ini supaya hala tuju mahkamah syariah berpaksikan nilai-nilai MADANI dan bukan hanya penyelarasan dasar, tetapi penyatuan misi dan jiwa penjunjung keadilan Islam.

“Dimensi seterusnya adalah untuk memperkukuh pemerkasaan perkhidmatan kehakiman dan perundangan syariah dengan kekuatan institusi bukan hanya pada hakim, tetapi pada barisan pelaksana iaitu penolong pegawai syariah dan pembantu syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Persidangan Penolong Pegawai Syariah dan Pembantu Syariah Seluruh Malaysia 2025 di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 200 peserta yang mengangkat tema ‘Memperkukuh Ukhuwah, Memantap Institusi’.

Mohd Na'im berkata persidangan berkenaan adalah usaha untuk memperkasakan fungsi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai agensi penyelaras kehakiman syariah di peringkat nasional dalam memastikan keseragaman pentadbiran dan kefahaman hukum syarak di seluruh negeri.

Di samping itu, beliau berkata ia juga merupakan platform untuk membangunkan laluan kerjaya dan potensi kumpulan pelaksana, agar mereka menjadi tenaga profesional yang berilmu, berintegriti dan beradab Islamiah.

Dalam majlis yang sama, Mohd Na'im turut melancarkan logo rasmi Persatuan Ikatan Kumpulan Sokongan Syariah Malaysia (IKSYAM).  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan