Oleh Nurul Hanis Izmir dan Samantha Tan
SEPANG, 27 Okt (Bernama) -- Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bukan sahaja menandakan peristiwa diplomatik yang penting, ia juga menarik perhatian peminat pesawat Air Force One yang berkumpul di bawah terik mentari pagi untuk merakamkan detik penerbangan yang amat jarang berlaku di negara ini.
Pelajar berusia 22 tahun yang ingin dikenali sebagai ‘Z’ berkata beliau sangat teruja melihat kapal terbang khas yang membawa presiden ekonomi terbesar dunia itu mendarat dan berlepas berlatarbelakangkan langit Sepang.
“Sangat jarang berlaku sebenarnya. Beliau antara hanya tiga presiden AS yang datang ke Malaysia," kata pemuda dari Bangi itu yang menunggu seawal 6.30 pagi bersama rakan-rakannya, masing-masing menggalas kamera.
Menurut Z, dia dan rakan-rakan menunggu beberapa jam untuk menyaksikan sendiri dan mengabadikan detik jentera ikonik biru putih itu mendarat semalam dan berlepas hari ini.
“Masing-masing sibuk mengambil gambar. Ia adalah momen bersejarah. Anda tidak dapat melihat Air Force One setiap hari,” katanya.
Baginya dan rakan-rakan, ia bukan tentang politik atau dasar tetapi tentang menjadi sebahagian daripada detik yang menggabungkan bidang penerbangan, diplomasi dan sejarah.
“Sebahagian kami tidak bersetuju dengan pegangan politik beliau (Trump), kami hanya mahu melihat pesawat tersebut,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati puluhan peminat pesawat berkumpul di pagar Kompleks Bunga Raya dengan kelengkapan seperti tripod dan lensa untuk merakamkan foto terbaik Air Force One.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial