AM

Tiada Rundingan, Penguatkuasaan Kenderaan Lebih Muatan Tetap Dilaksanakan - Loke

27/10/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak industri yang tidak mematuhi peraturan berkaitan kenderaan lebih muatan di jalan raya dan menolak sebarang rundingan berhubung isu itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata walaupun penguatkuasaan tegas menimbulkan pelbagai reaksi daripada pihak industri, kerajaan tetap berpegang kepada prinsip keselamatan jalan raya dan tidak akan bertolak ansur dengan pihak melanggar undang-undang.

“Apabila kita mengambil tindakan pengawasan yang tegas, memang akan ada bantahan daripada industri dan pelbagai amaran daripada mereka. Ini perkara biasa. Tetapi hakikatnya, mereka sendiri tahu amalan membawa lebih muatan telah lama berleluasa.

“Sebenarnya mereka mahu kita berunding dengan mereka. Ini bagi saya mencabar autoriti kerajaan. Mereka sudah buat salah, kemudian minta rundingan. Saya kata lupakan, tiada rundingan. Penguatkuasaan undang-undang akan tetap berjalan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta penjelasan mengenai rungutan beberapa persatuan pembinaan berhubung tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan berat membawa lebih muatan, yang didakwa menyebabkan peningkatan kos bahan dan memerlukan lebih banyak perjalanan untuk mengangkut barangan.

Loke berkata amalan membawa lebih muatan telah lama berleluasa apabila banyak pihak industri mengambil pendekatan tidak mematuhi penguatkuasaan undang-undang.

“Masalahnya, bertahun-tahun mereka mengambil pendekatan tidak mematuhi penguatkuasaan undang-undang. Jadi apa pilihan kita? Kalau kita tunduk kepada tekanan kumpulan ini, maka lebih baik kita tutup mata sahaja dan biarkan kesalahan terus berlaku.

“Tetapi adakah kos itu lebih penting daripada nyawa manusia? Jawapan saya ialah nyawa manusia lebih penting,” katanya dan menambah keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dikorbankan demi keuntungan syarikat.

Menjawab soalan asal Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung garis masa dan perincian pelaksanaan pembangunan Sistem Data Pemandu oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Loke berkata tumpuan utama ketika ini diberikan kepada penyediaan spesifikasi teknikal sistem, permohonan peruntukan pembangunan serta pengurusan proses tender bagi melantik penyedia perkhidmatan yang berkelayakan.

Beliau berkata setelah semua proses itu diselesaikan, pelantikan pelaksana dijangka dibuat dan pembangunan sistem dimulakan dalam masa terdekat.

Bagi fasa seterusnya, Loke berkata pelaksanaan sistem berkenaan akan melibatkan integrasi dengan beberapa agensi penting termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan