AM

Sultan Nazrin Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Deepavali Negeri Perak

26/10/2025 10:24 PM

IPOH, 26 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini malam ini. 

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah. 

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 8.30 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan.

Majlis anjuran kerajaan negeri itu dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung pelbagai kaum. 

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 anak yatim dari Pusat Jagaan Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Pusat Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia Perak, Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Pelangi Perak, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Vision Home dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Kanak-Kanak Arutperum Jothi. 

Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata sambutan Deepavali menjadi titik tolak rakyat bersama-sama membetulkan keadaan, menyalakan semula pelita keinsafan dan kemanusiaan di hati masing-masing. 

"Kita melihat satu persatu insiden jenayah kekerasan yang menamatkan nyawa tanpa belas ihsan. 

"Kita melihat anak-anak muda yang hilang arah, mencemarkan institusi pendidikan dengan tingkah laku yang menyesakkan dada. Kita melihat masyarakat yang kian hilang rasa peduli, tidak lagi menghulur tangan kepada yang susah, tidak lagi menegur dengan hikmah," katanya. 

Beliau berkata rakyat perlu menjadikan nilai kasih sayang sebagai cahaya dan perpaduan sebagai pelitanya, maka barulah negeri dan negara akan terang dengan kedamaian. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan