Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Malaysia komited kepada pembangunan segera sektor mineral penting dan unsur nadir bumi dengan kerjasama syarikat dari Amerika Syarikat (AS), termasuk memberikan lesen operasi lanjutan bagi mewujudkan kepastian untuk perniagaan meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Malaysia dan AS dalam satu pernyataan bersama berkata Malaysia komited untuk tidak mengenakan sekatan atau kuota ke atas eksport mineral penting atau unsur nadir bumi ke AS.
“Malaysia komited untuk memastikan tiada sekatan dikenakan ke atas jualan magnet nadir bumi kepada syarikat AS,” demikian menurut Pernyataan Bersama mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia yang dikeluarkan oleh White House hari ini.
Katanya Washington dan Putrajaya komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan keselamatan negara, meningkatkan daya tahan dan inovasi rantaian bekalan, menangani pengelakan duti serta bekerjasama dalam keselamatan pelaburan dan kawalan eksport.
Selain itu, katanya kedua-dua negara mengambil maklum mengenai perjanjian komersial yang terkini dan akan datang antara syarikat AS dan Malaysia termasuk pembelian 30 pesawat berserta pilihan untuk membeli 30 lagi pesawat dan pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data dianggarkan bernilai US$150 bilion.
Antara lain termasuklah pembelian sehingga lima juta tan setahun gas asli cecair dengan anggaran nilai sehingga US$3.4 bilion setahun, pembelian arang batu serta produk dan perkhidmatan telekomunikasi bernilai US$204.10 juta, selain pelaburan dana modal di AS sebanyak US$70 bilion.
Menurut pernyataan bersama itu, kedua-dua negara bersetuju dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, menyediakan pengeksport di kedua-dua belah pihak dengan akses perdagangan yang lebih luas ke pasaran masing-masing.
“Persetujuan itu dibina berasaskan hubungan ekonomi yang telah terjalin sekian lama termasuk Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan Perdagangan AS-Malaysia yang dimeterai pada 2004,” katanya.
Selain itu, White House menyatakan Malaysia komited untuk menyediakan akses pasaran keutamaan untuk eksport barangan perindustrian AS, termasuk bahan kimia, jentera dan kelengkapan elektrik, logam dan kenderaan penumpang serta bagi eksport pertanian AS, termasuk produk tenusu, hortikultur, ternakan, produk diproses, minuman, khinzir, beras dan etanol bahan api.
Katanya Washington komited untuk mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus seperti yang telah ditetapkan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025, yang telah dipinda, ke atas barangan dari Malaysia.
“AS juga telah mengenal pasti produk daripada senarai dalam Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 Sept 2025, Potential Tariff Adjustments for Aligned Partners untuk mendapat kadar tarif timbal balas sifar peratus.
“Malaysia komited untuk menangani halangan bukan tarif yang menjejaskan perdagangan dua hala dalam sektor perindustrian utama. Malaysia turut komited untuk menangani dan mencegah halangan bukan tarif terhadap produk makanan dan pertanian AS di pasaran Malaysia,” katanya.
Menurut pernyataan bersama itu, Jabatan Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan persefahaman bersama mengenai dasar mata wang untuk menyokong hubungan ekonomi yang saksama antara kedua-dua negara.
“Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, AS dan Malaysia akan melaksanakan formaliti domestik sebelum perjanjian itu berkuat kuasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial