KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Malaysia beriltizam memastikan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang bermula hari ini hingga 28 Okt berjalan dengan lancar dan mencapai hasil yang bermakna.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sidang kemuncak berkenaan penting bagi memperkukuh perpaduan, memacu pertumbuhan serantau serta menegaskan peranan ASEAN sebagai pusat kestabilan dan kemakmuran.
“Mohon titipan doa daripada seluruh rakyat agar segala urusan dipermudah-Nya, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Anwar menghadiri pramesyuarat sebagai persiapan terakhir menjelang sidang kemuncak berkenaan di bawah kepengerusian Malaysia, malam tadi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967.
Malaysia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial