AM

Afrika Selatan Komited Kukuhkan Hubungan Lama Dengan Malaysia - Ramaphosa

25/10/2025 09:28 PM

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Afrika Selatan komited untuk memperkukuh hubungan lamanya dengan Malaysia, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertukaran budaya, kata Presiden Matamela Cyril Ramaphosa.

Beliau berkata hubungan antara kedua-dua negara telah terjalin lebih 300 tahun lalu dan berakar daripada sejarah serta perjuangan bersama menentang perhambaan dan penjajahan.

“Apabila kami datang ke Malaysia, rasanya seperti pulang ke tanah air sendiri. Kedua-dua negara kita dihubungkan oleh ikatan nenek moyang dan sejarah yang mendalam,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat dua hala di Seri Perdana, di sini, hari ini.

Ramaphosa berkata pertemuannya dengan Anwar menandakan langkah penting dalam usaha menghidupkan semula hubungan dua hala, sambil menambah bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan di tengah-tengah cabaran geopolitik global semasa.

“Kami mengesahkan semula bahawa peluang perdagangan dan pelaburan perlu diperluas antara kedua-dua negara, terutama dalam tempoh ini apabila perdagangan sering digunakan sebagai senjata,” katanya.

Presiden itu berkata Afrika Selatan akan terus memperkukuh kerjasama sedia ada dalam bidang berkepentingan bersama, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan perundingan secara berkala bagi memastikan momentum berterusan.

Beliau turut menekankan kepentingan memupuk hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih erat melalui pendidikan, penyelidikan universiti serta program pertukaran pelajar, selain memperkukuh kerjasama dalam bidang sukan dan budaya.

Mengenai isu antarabangsa, Ramaphosa mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana mengiktiraf pendirian negaranya terhadap perjuangan Palestin serta menyokong tindakan Afrika Selatan memfailkan aduan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Kami akan terus menuntut keadilan untuk rakyat Palestin, sebagaimana dunia dahulu menuntut keadilan untuk kami rakyat Afrika Selatan apabila mereka membawa isu aparteid ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk diisytiharkan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Ramaphosa turut menyuarakan harapan agar kerjasama lebih erat dapat dijalinkan antara Kesatuan Afrika, Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan ASEAN memandangkan kedua-dua rantau berkongsi pandangan serupa dalam forum pelbagai hala.

Beliau turut berterima kasih kepada Malaysia kerana menjemput Afrika Selatan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN serta menjemput Anwar untuk melakukan lawatan negara ke Afrika Selatan pada 2026.

“Lawatan anda ke Afrika Selatan bagi Sidang Kemuncak G20 bulan depan akan menjadi pendahuluan. Kami menantikan kehadiran anda sekali lagi untuk lawatan negara penuh,” katanya.

Ramaphosa kini dalam lawatan rasmi empat hari ke Malaysia sehingga 27 Okt atas jemputan Anwar bagi mengadakan mesyuarat dua hala dan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan pada Februari 2018.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan