AM

Enam Usahawan Wanita Mara Bakal Sertai MIHAS Shanghai November Ini

25/10/2025 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Sebanyak enam usahawan wanita daripada 16 syarikat pempamer di bawah Program Gate to Global, bakal mewakili Malaysia untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai, China pada 5 hingga 10 Nov ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata usahawan-usahawan itu, telah bersedia untuk melebarkan sayap mereka ke luar negara dan memenuhi kriteria sebagai pengeksport seperti yang telah ditetapkan oleh pihak MARA. 

“Usahawan ini merupakan wanita yang hebat dan saya yakin produk-produk mereka akan mendapat permintaan di pasaran global.

“Saya bangga usahawan wanita dapat bersaing pada peringkat antarabangsa dengan khidmat nasihat dan kemudahan yang diberikan oleh pihak MARA. Syabas kepada usahawan-usahawan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis Perasmian Program Pemerkasaan Wanita MARA Peringkat Negeri Selangor dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di Dewan Acara Nice Banquet di Rawang dekat sini.

Asyraf Wajdi berkata sehingga hari ini, MARA telah menyalurkan peruntukan lebih RM50.3 juta kepada usahawan di Selangor, dengan 164 penerima adalah daripada golongan wanita.

Beliau turut menyambut baik cadangan untuk mewujudkan Persiaran Wanita Berdaya dengan menampilkan produk usahawan wanita Selangor, yang menerima bantuan daripada MARA sebagai projek rintis sebelum dikembangkan ke seluruh negara.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata program pemerkasaan wanita MARA yang diadakan di seluruh negara, dengan bertujuan melahirkan serta memperkasakan usahawan wanita itu hampir selesai.

“Program ini amat relevan kerana kita tidak mahu hanya melahirkan usahawan wanita yang berjaya, malah mempunyai jiwa perjuangan serta memartabatkan ekonomi anak bangsa kita,” katanya.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata hari ini buat pertama kali MARA menyampaikan bantuan kepada pelajar miskin dan yatim piatu yang mahu melanjutkan pelajaran di universiti menerusi Program Dana Ehsan Pendidikan.

“Kita mulakan di negeri Selangor dengan 167 penerima dahulu dan hari ini ada 50 pelajar yang menerima bantuan tersebut," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan