MELAKA, 25 Okt (Bernama) -- Agensi kerajaan berkaitan di Melaka kini meningkatkan tahap kesiapsagaan bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan beberapa negeri telah dilanda bencana itu, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata pihak terlibat telah mengambil langkah berjaga-jaga berikutan cuaca tidak menentu dan kejadian air pasang besar seperti yang berlaku di Pengkalan Balak dan Pantai Puteri, dekat sini baru-baru ini.
"Tiada insiden tidak diingini dilaporkan dan kita akan terus memantau situasi semasa dan berdoa agar negeri Melaka dijauhi daripada sebarang bencana,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke program “3KM International World Walk 2025” di pekarangan Stadium Hang Jebat di sini hari ini.
Terdahulu program dianjurkan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput itu disertai lebih 3,000 peserta merangkumi warga Paya Rumput, selain turut berlangsung secara serentak di 10 buah negara antaranya Korea Selatan, Singapura dan Jepun.
Dalam perkembangan berkaitan Rais berkata Melaka akan mengadakan perbincangan berhubung penghantaran bantuan ke negeri-negeri yang sedang terjejas banjir.
“Setakat ini kita masih belum menerima maklumat lanjut, namun Insya-Allah perkara itu akan dibincangkan di peringkat kerajaan negeri bagi menilai bentuk bantuan yang boleh disalurkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial