JENAYAH & MAHKAMAH

Analisis Awal Peralatan Digital Dibuat Di Rumah Ebit Lew - Saksi

24/10/2025 09:13 PM

TENOM, 24 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai polis dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwal terkenal, Ebit Erawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa beliau telah ke rumah tertuduh bagi menjalankan analisis awal terhadap beberapa peralatan digital.

Saksi pendakwaan ke-18, Pegawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Supt Noor Asyikin Shamsuri, 46, berkata beliau bersama jurugambar dan pasukan forensik pergi ke rumah tertuduh pada19 Ogos 2021 untuk menjalankan pemeriksaan terhadap komputer serta telefon bimbit lain bagi mengesan sebarang unsur lucah.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, kami tidak menemui sebarang bahan berunsur lucah dan tiada telefon lain ditemukan di rumah tertuduh,” katanya.

Menurut Noor Asyikin, jurugambar turut merakam 34 keping gambar dalam rumah Ebit Lew serta sekeping gambar bil elektrik rumah.

Selain itu, beliau memaklumkan telah mengarahkan Insp Mohd Ashraf Chai Abdullah menyediakan surat permohonan kepada syarikat Whatsapp LLC (USA) pada 16 Ogos 2021 bagi tujuan semakan akaun WhatsApp milik tertuduh.

“Permohonan itu dibuat bagi mendapatkan butiran pengguna akaun WhatsApp dan log panggilan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR)  Nor Azizah Mohamad berhubung surat permohonan itu.

Selain Nor Azizah, pendakwaan turut dikendalikan oleh TRP Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prabjit Singh Gill.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani akan bersambung  pada 3 dan 4 Nov ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan