SHAH ALAM, 24 Okt (Bernama) -- Lebih 5,000 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk pasukan kesihatan digerakkan di seluruh daerah bagi memastikan kesiapsiagaan menyeluruh apabila berdepan sebarang situasi bencana atau kecemasan sepanjang musim peralihan monsun yang dijangka berlarutan hingga Februari tahun depan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelarasan kesiapsiagaan telah bermula Julai lepas melibatkan lebih 20 agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Unit Bencana Negeri.
“Saya sendiri bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan barisan Exco berkaitan akan memantau pelaksanaan di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Skuad Pengurusan Bencana Negeri Selangor sempena Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Tahun 2025 di sini hari ini.
Amirudin berkata kesiapsiagaan itu turut membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk Majlis Sukan Negeri dan Team Selangor yang akan digerakkan sebagai sukarelawan selepas menerima latihan daripada JBPM dan APM.
Beliau berkata pemantauan kawasan berisiko turut dipertingkat menjelang Disember berikutan fenomena air pasang besar yang sering berlaku pada tempoh berkenaan.
“Kita berharap tidak berlaku hujan lebat pada waktu itu, namun sekiranya berlaku, ban dan sistem perparitan yang telah ditambah baik di kawasan berisiko serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan dibuat mampu melakukan tindakan penyelamatan dan memberi bantuan awal kepada mangsa terkesan dengan impak fenomena itu,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan Selangor sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kepada negeri lain seperti Perak yang kini berdepan kejadian banjir di Taiping.
Beliau berkata bantuan sokongan mungkin dihantar ketika pascabanjir kerana yakin kerajaan Perak dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang melakukan yang terbaik dalam menguruskan situasi tersebut.
“Fokus utama kita ketika ini ialah kesiapsiagaan di Selangor yang turut terdedah risiko bencana seperti banjir dan tanah runtuh, malah kejadian banjir dan puting beliung baru-baru ini menguji kesiapsiagaan negeri, dan alhamdulillah pelan tindakan menghadapi bencana berjalan sebagaimana direncanakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial