PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kini berada di peringkat akhir.
Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata selain itu, rundingan antara PH dan Barisan Nasional (BN) pula telah selesai sepenuhnya.
“Saya boleh sahkan pembahagian kerusi PH dan BN telah selesai. PH dan GRS kini di peringkat hujung dan sebagai Ketua Setiausaha PH yang diberi tanggungjawab itu, saya akan memuktamadkan dalam masa terdekat.
“Minggu lepas saya berada di Kota Kinabalu untuk mengadakan rundingan. Biasalah, rundingan tidak berakhir dengan hanya satu pusingan. Bila selesai nanti saya akan maklumkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
Mengulas kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRN itu, Saifuddin Nasution menyifatkannya sebagai andaian awal yang belum wajar dibuat.
“Premature untuk saya andaikan perkara itu. Kalau dalam sidang media hari ini saya sebut akan ada tiga penjuru, tak cantiklah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial