AM

Biasiswa GrabScholar Ubah Hidup Pelajar, Pengorbanan Keluarga Terbalas

18/10/2025 09:32 AM

PETALING JAYA, 18 Okt (Bernama) -- Pengorbanan dan ketabahan dua keluarga dari latar serba sederhana akhirnya membuahkan hasil apabila D. Aruna dan P. Lavinyia terpilih menerima GrabScholar 2025, biasiswa anjuran Grab Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR), sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidup mereka

Bagi Aruna, 23, pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), peluang itu bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi hadir sebagai sinar yang menariknya keluar daripada ujian hidup yang hampir mematahkan semangat.

“Pernah saya hanya ada RM5 sehari untuk makan. Ada hari saya berlapar kerana memilih untuk menyimpan duit bagi membeli buku undang-undang,” luahnya, mengimbau detik sukar yang membentuk dirinya hari ini.

Dibesarkan di Manjung, Perak oleh ibu tunggal bersama lima adik-beradik, Aruna mengakui pernah sampai ke tahap hampir menyerah sebelum biasiswa itu mengubah segalanya.

“Biasiswa ini mengubah hidup saya sepenuhnya. Kini saya boleh belajar dengan tenang tanpa perlu risau tentang kewangan. Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga program pembangunan diri yang membantu pelajar menjadi pemimpin berjiwa masyarakat,” katanya.

Dalam keluarga kecilnya, abangnya yang bekerja sebagai pemandu Grab sambilan menjadi tulang belakang menyokong pengajiannya.

“Abang saya bekerja keras demi kami semua. Kini, syarikat yang sama membantu pendidikan saya. Rasanya seperti satu kitaran kebaikan – pengorbanan dibalas dengan peluang,” katanya.

Aruna menyimpan impian melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang hak asasi manusia di Cambridge University dengan harapan dapat memperjuangkan keadilan bagi wanita dan golongan tertindas.

Jika Aruna berjuang dalam dunia undang-undang, kisah Lavinyia, 20, pula membawa pembaca menyelami tekad seorang anak yang enggan terus menjadi beban kepada keluarga.

Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu masih teringat bagaimana ayahnya, seorang pemandu Grab sepenuh masa, datang kepadanya dengan sehelai maklumat mengenai biasiswa itu dan berkata, “Cuba mohon, ini mungkin rezeki kamu.”

“Saya mohon tanpa meletak harapan besar, tapi bila dapat tahu saya terpilih, perasaan terharu itu sukar digambarkan. Ini bukan rezeki saya seorang, tetapi untuk ayah dan keluarga yang banyak berkorban,” katanya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Sebelum ini, keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan ayah selepas beliau berhenti daripada kerjaya jurutera. Lavinyia sering memendam rasa bersalah kerana merasakan dirinya sebagai beban.

“Dengan biasiswa ini, saya bukan sahaja dapat mengurus kos pengajian sendiri, malah boleh membantu ayah meringankan perbelanjaan rumah. Ia bukan bantuan kewangan semata-mata, tetapi keyakinan yang diberikan kepada kami,” katanya yang bercita-cita menjadi jurutera kimia dalam bidang teknologi hijau.

Lavinyia yang mengakui dirinya seorang yang pendiam turut melihat program pembangunan kepimpinan di bawah biasiswa itu sebagai ruang untuk membina keyakinan diri.

Kedua-dua penerima itu menyatakan penghargaan kepada Grab Malaysia dan YTAR atas peluang yang diberikan, sambil menyifatkan biasiswa tersebut sebagai sinar harapan yang mengubah masa depan mereka dan keluarga.

Melalui kerjasama dengan YTAR, Grab Malaysia berhasrat memperluas peluang GrabScholar kepada lebih banyak keluarga, sekali gus mewujudkan kesan berantai pemerkasaan di mana setiap kejayaan penerima biasiswa turut menghargai pengorbanan dan sumbangan ahli keluarga mereka.

Grab Malaysia sebelum ini memaklumkan sebanyak enam pelajar cemerlang menerima biasiswa penuh melalui inisiatif berkenaan, manakala 300 lagi pelajar daripada keluarga pemandu dan peniaga Grab serta komuniti umum menerima bantuan kewangan melalui GoBarakah di bawah dana GrabForGood Fund.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, berkata program itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam memberi semula kepada komuniti dengan menghapuskan halangan kewangan supaya pelajar dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan mengejar impian mereka.

“Rakan pemandu dan peniaga ialah tulang belakang Grab. Melalui dana ini, kami mahu memastikan impian anak mereka tidak terhenti hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif YTAR, V. Kularetnam, pula berkata kerjasama dengan Grab Malaysia untuk tahun kedua itu turut menawarkan program pembangunan kepimpinan selama dua tahun bagi memperkasakan pelajar membentuk masa depan lebih baik untuk diri mereka, komuniti dan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan