FOKUS BERNAMA

Pemanasan Global "Uji" Syurga Dunia Di Pulau Besar

18/10/2025 02:32 PM
Daripada Nina Muslim

Artikel ini merupakan laporan kedua daripada siri tiga bahagian tentang Pulau Besar di Johor dan persoalan adakah pelancongan lestari mampu menjadi penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi oleh penduduknya.

 

Bunyi dentingan sudu garpu dan geseran pinggan di Warong Pak Adun hampir-hampir tidak kedengaran, ditenggelami deburan ombak yang hanya kira-kira 500 meter dari restoran berkonsep terbuka itu.

Di tepi singki di sisi restoran, kelihatan pelanggan membuang sisa makanan mereka ke dalam bekas besar beralas beg plastik sampah sebelum meletakkan pinggan mereka ke dalam tong besar bersebelahan dapur. Mudah sahaja. Begitu juga dengan kerja pembersihan selepas waktu makan tengah hari.  

Kira-kira sejam kemudian, anak lelaki pemilik restoran itu mengangkut tong berisi sisa makanan dengan motosikal roda tiga ke bahagian hujung pulau yang tidak berpenghuni.  

“Dulu, kalau sisa makanan, (biasanya) kita bakar saja atau tanam,” kata Abdul Ghaffar Ismail, lebih dikenali sebagai Pak Adun, pemilik kedai makan itu.

pic-2

Tidak lagi dibuang di belakang rumah seperti dulu, sisa makanan tersebut kini dibawa ke Rumah Eko, pusat pendidikan dan pemuliharaan pulau yang dikendalikan oleh Tengah Island Conservation (TIC), sebuah badan bukan kerajaan. Di bahagian belakang perkarangan Rumah Eko, deretan tong kompos Ridan - berbentuk seperti kapal selam berwarna hijau di atas penyokong besi - akan mengubah sisa itu menjadi baja.  

Inisiatif pengkomposan ini ialah antara perubahan terkini yang dilaksanakan oleh TIC bagi membantu penduduk pulau - Pulau Besar mempunyai 18 orang penduduk - menguruskan sisa. Inisiatif itu membantu Pulau Besar dan pulau-pulau di sekeliling kekal bersih, pelancong gembira dan tahap pelepasan karbon rendah.

“Semua orang memainkan peranan dalam menjadikan pulau ini tempat yang lebih baik dan bersih,” kata Nurul Aida Amanina Mohd Roslan, pengurus projek ‘Besar Bersih’ TIC memberitahu  Bernama.

Terletak berhampiran garisan Khatulistiwa di timur laut Johor dan merupakan sebahagian daripada daerah Mersing, Pulau Besar ialah antara enam gugusan pulau dalam Taman Laut Sultan Iskandar. Perairan pulau ini kaya kepelbagaian biologi dengan ratusan spesies flora dan fauna marin seperti penyu, dugong dan rumpai laut, serta sekurang-kurangnya 261 spesies karang.

Pelancongan di pulau yang kurang dikenali ini berbanding “saudara-saudaranya” di utara seperti Tioman dan Redang, baru mula berkembang. Pelancong yang tertarik dengan panas cahaya matahari khatulistiwa, pantai berpasir putih, air laut biru jernih serta keindahan alam semula jadinya, menjadi sumber pendapatan penduduk. Selepas berdekad dibiarkan tanpa banyak pembangunan, kerajaan negeri kini menambah baik kemudahan asas di Pulau Besar termasuk menyediakan klinik untuk penduduk setempat dan juga pelawat.   

Namun industri pelancongan ini berkembang bersama-sama dengan cabaran. Ketika dunia kian menghampiri titik kritikal iklim, karang berubah menjadi putih dan cuaca semakin tidak menentu, aktivis pemuliharaan bimbang industri yang membantu kelangsungan pulau ini berpotensi mempercepat kemerosotannya.

 

TINGGALAN JEJAK KEHIDUPAN LAUT

Di tepi pantai dan jeti Pulau Besar, terumbu karang kelihatan seperti bongkah batu yang terjojol di permukaan air di beberapa lokasi. Namun, di perairan yang kehijauan persis zamrud sekitar gugusan Pulau Besar, tersembunyi beberapa “bongkah hantu” di bawah permukaan.     

Didorong oleh aktiviti manusia selama berdekad dan pembakaran bahan api fosil, bumi kini semakin cepat memanas. Di sesetengah kawasan, suhu permukaan meningkat hingga tiga darjah Celsius berbanding zaman praindustri, menurut data Berkeley Earth. Malaysia juga tidak terkecuali; suhu purata tahunannya meningkat dari 26.3 darjah pada 1920 kepada 27.8 darjah pada 2022, peningkatan kira-kira 1.5 darjah. Menurut saintis, tidak ada tanda-tanda penurunan suhu walau di mana-mana. 

pic-3

Walaupun peningkatan sebanyak 1.5 darjah kelihatan kecil, kesannya sudah dapat dilihat pada terumbu karang yang mengelilingi Pulau Besar dan pulau-pulau lain di Mersing, yang dahulunya berwarna-warni kini bertukar menjadi “hantu” (memutih/meluntur). Inilah titik perubahan pertama dunia.

“(Tahun lalu,) kami dapati berlaku pemutihan karang di beberapa terumbu di tapak pemantauan kami dalam kawasan tujuh pulau yang membentuk gugusan Pulau Besar. Terumbu-terumbu itu tidak dapat pulih dan akhirnya ada yang mati,” kata Noor ‘Naja’ Azariyah Mohtar, pengarah eksekutif TIC.

Beliau memberitahu Bernama bahawa pasukannya menganggarkan kehilangan litupan karang daripada 53 peratus kepada 46 peratus di perairan sekitar pulau-pulau tersebut, yang merangkumi  kawasan seluas 29.4 kilometer persegi, iaitu kira-kira separuh saiz Putrajaya.

Pemutihan atau pelunturan karang berlaku apabila hidupan itu mengalami tekanan, menyebabkan ia menyingkirkan alga mikroskopik zooxanthellae – penting untuk proses fotosintesis – yang hidup di dalam tisu karang tersebut. Apabila alga itu disingkirkan, tisu lut sinar karang menampakkan kerangka putihnya, dan kehilangan alga menyebabkan karang kelaparan serta mudah diserang penyakit dan akhirnya mati sekiranya suhu air tidak kembali normal dengan segera.

Kematian besar-besaran terumbu karang ini adalah sebahagian daripada trend global memandangkan peningkatan suhu permukaan telah menjejaskan lebih 80 peratus terumbu karang dalam tempoh dua tahun lepas, menurut 2025 Global Tipping Report yang dikeluarkan pada Isnin (13 Okt).

Menurut laporan itu yang disusun oleh 160 orang saintis dari 23 negara, peningkatan purata suhu global sebanyak 1.4 darjah Celsius berbanding paras praindustri, telah menyebabkan kejadian pemutihan karang berlaku terlalu kerap sehinggakan terumbu karang tidak sempat pulih. Kematian besar-besaran terumbu karang biasanya berlaku apabila suhu meningkat melebihi 1.2 darjah Celsius.

“Jika suhu terus meningkat, dan saya percaya perairan akan menjadi lebih panas, kami bimbang kita mungkin kehilangan terumbu karang kita lebih awal daripada jangkaan para penyelidik,” tambah Naja.

Kematian besar-besaran terumbu karang akibat kejadian pemutihan berulang membawa kesan yang serius kepada alam marin serta komuniti manusia. Tumbangnya ekosistem yang mudah terjejas ini bermakna kehilangan tempat perlindungan dan sumber makanan bagi ikan serta penyu, sekali gus menyebabkan kepelbagaian biologi merosot dengan ketara. Selain itu, terumbu karang tidak lagi mampu melindungi pulau-pulau daripada ombak ribut dan kenaikan paras laut, iaitu satu lagi kesan perubahan iklim dan pemanasan global.

pic-4

 

PEMBAKARAN TINGKATKAN JUMLAH HUJAN

Kesan haba terhadap sistem cuaca mungkin kurang ketara pada pandangan mata, tetapi lebih dirasai. Di Asia Tenggara, peningkatan suhu telah mempertingkatkan lagi “kuasa” monsun dan menambah intensiti ribut menerusi pertambahan jumlah lembapan dalam atmosfera, seperti yang dijelaskan oleh persamaan Clausius-Clapeyron. Persamaan itu menyatakan bagi setiap peningkatan satu darjah Celsius, keupayaan atmosfera untuk menampung lembapan akan meningkat sebanyak tujuh peratus.

Penduduk Pulau Besar memberitahu Bernama bahawa pola cuaca, terutamanya di luar musim monsun, kini kian tidak menentu manakala ribut monsun semakin hari semakin ganas. Pemanasan global bukan satu-satunya punca; menurut para saintis pencemaran udara berkemungkinan menjadi penyumbang utama.

Menurut laporan berita, penyelidikan terbaharu oleh Prof Dr Steve Yim daripada Pusat Perubahan Iklim dan Kesihatan Alam Sekitar, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura yang diterbitkan pada 3 Okt dalam jurnal saintifik Geophysical Research Letters, mendapati pencemaran udara mungkin menjadi pemangkin kepada tahap keterukan cuaca di Asia Tenggara maritim, termasuk gugusan pulau Mersing. Kajian itu menunjukkan kawasan yang mengalami pencemaran udara menerima 50 peratus lebih banyak hujan berbanding kawasan yang mempunyai udara bersih.

Bernama tidak dapat menghubungi Dr Yim untuk mendapatkan ulasan.

Sumber pencemaran udara di rantau ini termasuk pembakaran arang batu dan pembakaran biojisim. Negara-negara ASEAN dijangka membakar sebanyak 520.9 juta tan (megatan) arang batu tahun ini dan 546.9 juta tan pada  2026, menurut laporan IEA Coal Mid-Year Update 2025 yang dikeluarkan oleh IEA (https://www.iea.org/reports/coal-mid-year-update-2025). Sebahagian besar arang batu tersebut digunakan untuk menjana tenaga elektrik di negara-negara ASEAN, dengan bahagian terbesar digunakan di Filipina, Indonesia, Vietnam dan Malaysia.

Rantau itu mempunyai rekod yang lemah dalam membendung pembakaran biojisim yang telah menyebabkan jerebu bermusim setiap tahun.

pic-5

Nurul Aida Amanina daripada TIC memberitahu Bernama bahawa perubahan tabiat memerlukan masa. Walaupun penduduk Pulau Besar dan pengusaha resort menyambut baik sistem kompos yang diperkenalkan, beliau tidak terkejut sekiranya masih ada segelintir penduduk yang sekali-sekala membakar sampah dan sisa makanan mereka.

“(Membakar sampah) agak berisiko kerana mereka mungkin mencampurkan sisa makanan dengan jenis sampah lain. Namun ini tetap satu bentuk pembakaran yang melepaskan karbon dioksida ke alam sekitar, jadi saya tidak galakkan mereka berbuat demikian,” katanya.

Karbon dioksida ialah gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global dengan memerangkap haba dalam atmosfera dan menghalangnya daripada dilepaskan ke angkasa. Permukaan bumi, termasuk laut dan lautan, turut menyerap haba tersebut.

 

PARADOKS PELANCONGAN

Peningkatan suhu dan kejadian pemutihan karang tidak menghalang pengunjung daripada terus datang ke Pulau Besar, namun penduduk setempat berkata kebimbangan utama mereka kini ialah keadaan cuaca.

“Dulu (memang) ada ribut luar musim tengkujuh, tapi tak sama dengan sekarang. Sekarang macam kerap. Tahun ini kerap... tiba-tiba hujan,” kata Pak Adun ketika ditemui selepas waktu makan malam di kedainya. 

Tambah beliau, pengusaha pelancongan terpaksa membatalkan aktiviti seperti mendaki, berbasikal dan bersnorkel akibat keadaan tersebut. Ketika hujan lebat, tidak ramai pelanggan yang sanggup keluar untuk ke kedainya.

Pelancong telah menjadi sumber pendapatan  dan juga punca masalah bagi komuniti kecil pulau itu. Pada 18 Sept, kerajaan Johor terpaksa menutup akses pelancong ke enam pulau di Mersing bagi melindungi biodiversiti taman laut serta tujuan pemuliharaan alam sekitar. Enam pulau tersebut kekal ditutup kepada aktiviti seperti selam skuba, snorkel dan lawatan antara pulau hingga kini.

Ironi ini amat difahami oleh pakar kelestarian; pelancongan menyara kehidupan dan membiayai usaha pemuliharaan, namun pada masa sama menyumbang kepada krisis yang cuba diselesaikan. Setiap pelawat ke pulau itu meninggalkan jejak karbon mereka sendiri,  kerana untuk tiba di pulau mereka perlu menaiki kapal terbang, kereta atau bas serta bot.

Wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)  Edward Vrkic memberitahu Bernama bahawa pelancong, aktivis pemuliharaan dan kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan kesan negatif pelancongan.

“Penerbangan, sebagai contoh, merupakan penyumbang besar kepada pelepasan karbon. Sekitar 2.8 peratus daripada jumlah pelepasan global, jika diambil kira secara keseluruhan, jumlahnya boleh mencecah lapan peratus. Namun, pengangkutan udara tetap penting untuk memastikan pasaran pelancongan dapat diakses dan terus terbuka,” katanya.

Kuncinya ialah melalui “pelancongan lestari”,  iaitu bentuk pelancongan yang mengambil kira sepenuhnya kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Ia juga mesti memenuhi keperluan pelancong, industri dan alam sekitar serta komuniti setempat yang menjadi tuan rumah.

Prof Madya Goh Hong Chin, perancang bandar dan wilayah daripada Universiti Malaya, berkata dalam usaha mencapai pelancongan lestari, pihak berkepentingan harus memberi tumpuan kepada pemuliharaan dan tidak menggunakan istilah tersebut sebagai alasan untuk menjual lebih banyak produk atau mengurangkan kos, satu amalan yang dikenali sebagai “greenwashing”.

Oleh itu, katanya, beliau lebih gemar menggunakan istilah “pelancongan regeneratif”.

“Pelancongan lestari ialah ‘apa yang kita nikmati hari ini, kita pastikan generasi akan datang turut menikmatinya’. Tetapi, pelancongan regeneratif pula ialah ‘kita jadikan apa yang kita nikmati hari ini lebih baik sebelum atau selepas kita pergi’,” katanya.

Sama ada pelancongan lestari atau pelancongan regeneratif, tidak ada maknanya jika manusia tidak menghargai apa yang mereka miliki.

pic-6

Sambil merenung tentang penutupan pulau-pulau itu, Pak Adun berkata perkara paling penting ialah kesedaran, bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat tetapi juga pelancong dan pengusaha pelancongan. Beliau bimbang dalam keghairahan mengejar keuntungan atau memburu gambar sempurna untuk Instagram, ramai akan terlupa apa sebenarnya yang menjadikan pulau-pulau itu terus hidup.

“Pelancong yang datang tu, mereka pastinya faham tentang kebersihan,” katanya. “Dah pengusaha pula ramai, tapi kalau disekat bagaimana nak cari rezeki. Masing-masing nak cari keuntungan, jadi jangan sekat, tapi pantau.”


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan