AM

KPDN Johor Pastikan Bekalan Makanan Mencukupi Sepanjang Monsun Timur Laut

16/10/2025 08:04 PM

SEGAMAT, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan memastikan bekalan makanan asas mencukupi ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November, kata Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pertanian sebagaimana yang dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya.

“Tanggungjawab KPDN adalah memastikan bekalan barangan, sama ada barang kawalan mahupun keperluan harian tetap berada di pasaran sama ada ketika musim perayaan atau ketika berlaku bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 Peringkat Johor di sebuah pasar raya di Taman Yayasan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Johor Mohd Fuzi Hadi Abd Latif dan Pengurus Cawangan Billion Shopping Centre (Segamat) N. Kannan.

Lilis Saslinda berkata pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 yang bermula hari ini hingga 22 Okt melibatkan sembilan jenis barangan kawalan dengan pemantauan berterusan oleh 200 anggota penguat kuasa KPDN di seluruh negeri.

Beliau berkata penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berhemah dengan penekanan terhadap pendidikan, nasihat dan amaran, namun tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang ingkar kepada peraturan ditetapkan.

“Pengguna juga boleh menghubungi kami sekiranya mendapati ada peniaga mengambil kesempatan menjual barangan kawalan pada harga  tidak munasabah. Sebagai contoh, semasa SHMMP Aidilfitri lepas, pemeriksaan terhadap 477 premis mendapati beberapa kesalahan termasuk kegagalan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu dengan tindakan telah diambil terhadap peniaga terlibat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan