AM

Konvensyen Inovasi Sosial 2025 Perluas Penglibatan Peserta, Perkenal Elemen Baharu

16/10/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Konvensyen Inovasi Sosial 2025 yang berlangsung di GMBB MALL di sini bertujuan memperluas penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang dan memperkenalkan elemen baharu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata elemen berkenaan termasuk padanan perniagaan, Resolusi Konvensyen Inovasi Sosial 2025 dan pengukuhan jaringan strategik antara inovator, industri serta agensi kerajaan.

Edisi kali ini yang bermula hari ini hingga Sabtu, melibatkan penyertaan 150 inovator, menjadikan ia lebih dinamik dan berorientasikan hasil dengan fokus kepada pengkomersialan produk inovasi sosial, pembangunan komuniti berimpak tinggi serta pemerkasaan ekosistem inovasi sosial secara menyeluruh.

"Inisiatif ini mencerminkan kematangan konvensyen itu sebagai platform inovasi sosial nasional yang terus berkembang seiring dengan aspirasi negara menuju kemakmuran dan kelestarian sosial," katanya dalam ucapan perasmian di sini hari ini.

Teks ucapan Chang dibacakan Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Dr Sharmila Mohamed Salleh.

Anjuran bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan YIM, Konvensyen Inovasi Sosial 2025, penganjuran tahun ini bertemakan “Social Innovation Living Lab: Connect, Collaborate, Creative, Changescape!” dan menyasarkan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Chang berkata penganjurannya membawa makna signifikan kerana menjadi platform utama bagi memperkukuh pelaksanaan awal Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 secara bersepadu dan inklusif dalam usaha memperkasakan inovasi sosial untuk manfaat kumpulan rentan dan komuniti kurang bernasib baik.

"Konvensyen itu bukan sahaja menjadi ruang pembentangan penyelesaian berinovatif tetapi turut memainkan peranan penting dalam menterjemahkan aspirasi DIS kepada peringkat pelaksanaan melalui pendedahan projek berimpak, pemadanan kolaborasi, penglibatan komuniti, dan pembudayaan nilai inovasi sosial," katanya.

Seiring dengan pelaksanaan DIS, Chang berkata MOSTI akan terus memainkan peranan sebagai peneraju, penyelaras dan pemudah cara pelaksanaan dasar itu pada peringkat nasional.

Beliau berkata YIM pula akan terus memainkan peranan sebagai agensi pelaksana, dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman luas dalam pembangunan inovasi sosial akar umbi sejak 2008.

"YIM telah membuktikan bahawa inovasi yang dicetuskan oleh komuniti, apabila disokong dengan penglibatan aktif pemegang taruh, teknologi, kepakaran dan pembiayaan yang bersesuaian, mampu memberikan impak nyata kepada kehidupan rakyat," katanya.

 MOSTI turut membuka ruang untuk seluruh masyarakat mengemukakan isu sosioekonomi yang dihadapi melalui satu platform khusus sempena konvensyen itu dan akan diperhalusi serta dikongsikan bersama inovator bagi tujuan pembangunan penyelesaian daripada aspek sains, teknologi dan inovasi sebelum dibawa kepada komuniti menjelang 2027.

 Majlis turut menyaksikan pengumuman penubuhan Koperasi Inovator Malaysia yang bertujuan  meningkatkan kerjasama antara komuniti inovator dalam mencari peluang dan merancakkan lagi aktiviti inovasi dalam kalangan mereka untuk menjana pendapatan dengan dana daripada koperasi berkenaan.

Turut diadakan penyerahan Dana Pembangunan Produk Inovasi Sosial dan Dana Replikasi Projek Inovasi Sosial.

  -- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan