KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Maybank menjalin kerjasama untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama global.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata dalam satu kenyataan institusi kewangan merupakan penghubung di antara modal dengan peluang.
Katanya, hubungan Maybank yang kukuh di ASEAN dan kehadirannya yang mantap di peringkat global menjadikannya sebagai rakan kerjasama yang ideal untuk meletakkan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pelaburan tetapi sebagai platform untuk peluasan serantau.
"Melalui kerjasama ini, MIDA akan terus memberi kemudahan dari awal hingga akhir, daripada panduan peraturan hingga sokongan selepas penjagaan bagi membantu pelabur untuk menubuhkan, mengembangkan dan berjaya dengan keyakinan di Malaysia.
"Kami berhasrat untuk menyampaikan apa yang paling dihargai oleh pelabur iaitu kestabilan, ketersambungan dan laluan pertumbuhan yang jelas," katanya.
MIDA sebagai agensi utama promosi pelaburan negara berkata di bawah kerjasama strategik ini, ia akan memanfaatkan kepakaran dalam kemudahan pelaburan dan peranan penyelarasan dasar.
Sementara itu, Maybank akan memanfaatkan pengalamannya dalam penasihat kewangan dan capaian serantau bagi menyalurkan modal domestik dan asing ke dalam sektor-sektor berpotensi tinggi di Malaysia.
MIDA dan Maybank akan memimpin satu siri program promosi yang disasarkan dan ia merangkumi misi pelaburan, meja bulat perniagaan dan kempen pemasaran strategik bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dan transformatif ke Malaysia.
Kawasan tumpuan termasuk industri elektrik dan elektronik (E&E), ekonomi digital, ekosistem kenderaan elektrik (EV), penjagaan kesihatan dan petrokimia, kata MIDA.
Dalam pada itu, Presiden dan CEO Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata memorandum persefahaman di antara Maybank dengan MIDA tepat pada masanya iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2026 yang menyediakan asas untuk menarik pelaburan bagi mencapai sasaran ekonomi utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
"Sebagai bank terbesar di Malaysia dan institusi terkemuka di ASEAN yang melayani pelbagai jenis pelanggan, kami lebih daripada sekadar pemberi pinjaman.
"Melalui kerjasama kami dengan MIDA, kami juga menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi halal global untuk memacu kemampanan,” katanya.
Selain itu, kata Khairussaleh, kerjasama berkenaan bagi memperkukuh ekosistem domestik dengan menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana kepada rantaian bekalan global serta peluang dalam kecerdasan buatan dan ekonomi baharu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial