KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang memantau rapi kemungkinan kemasukan barangan murah ke Malaysia susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif ke atas beberapa produk import, termasuk perabot, farmaseutikal dan semikonduktor.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata langkah tarif tinggi oleh AS boleh menyebabkan negara pengeluar mengalihkan eksport mereka ke pasaran lain, termasuk Malaysia.
“Apabila pasaran AS menjadi kurang menarik disebabkan tarif yang tinggi, pengeluar dari negara terlibat mungkin mencari pasaran alternatif termasuk di rantau ASEAN dan Malaysia bagi meneruskan operasi pengeluaran serta mengelak lebihan stok.
“Pengalihan perdagangan ini boleh menyebabkan kemasukan barangan berharga rendah ke pasaran Malaysia, sekali gus menekan harga pasaran dan menjejaskan daya saing pengeluar tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang meminta penjelasan mengenai langkah-langkah perlindungan untuk industri semikonduktor, perabot dan barangan lain yang terkesan dengan tarif AS serta risiko lambakan dan impaknya terhadap nilai perdagangan serta kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya MITI memainkan peranan penting dalam melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil melalui pelaksanaan langkah remedi perdagangan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Antilambakan 1993, Peraturan Duti Timbal Balas dan Antilambakan 1994, Akta Pelindung 2006 dan Peraturan Pelindung 2007.
“Apabila tarif dinaikkan, pengeluar akan mencari pasaran alternatif untuk mengalih lebihan bekalan. Malaysia berpotensi menjadi antara destinasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata sektor perabot, farmaseutikal dan semikonduktor dijangka menjadi antara yang paling terkesan berikutan AS merupakan pasaran eksport utama untuk sektor berkenaan.
“Kenaikan tarif AS memberi kesan langsung kepada eksport Malaysia dalam sektor ini. Jika lambakan berlaku, pengeluar tempatan akan berdepan tekanan harga dan kehilangan daya saing,” katanya.
Menurut beliau, MITI akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti kemasukan barangan pada harga tidak munasabah atau amalan perdagangan tidak adil.
“Kita ada peruntukan undang-undang untuk melindungi pasaran domestik termasuk langkah antilambakan dan tindakan balas perdagangan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial