AM

Festival Kesenian Borneo 2025 Bakal Ketengah Pengalaman Budaya Lebih Menarik

15/10/2025 05:58 PM

LABUAN, 15 Okt (Bernama) -- Irama muzik, lenggok tarian tradisional serta warna-warni warisan seni Borneo bakal menyerikan pulau bebas cukai ini menerusi penganjuran Festival Kesenian Borneo 2025 yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 17 Nov depan.

Acara yang bakal menampilkan pelbagai program kebudayaan dan kesenian itu dijangka menarik kira-kira 35,000 pengunjung dari seluruh negara, Brunei, dan Kalimantan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata festival tahun ini menonjolkan keunikan warisan seni Borneo yang meraikan rakyatnya, keindahan warna-warni serta kreativiti menerusi pelbagai persembahan menarik yang pastinya memukau pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata antara tarikan utama adalah pameran rumah tradisional etnik Kadayan, pameran pakaian tradisional serta aneka juadah tempatan yang enak.

Festival tahunan anjuran Perbadanan Labuan itu terus menjadi platform untuk menghargai kesenian dan pertukaran budaya yang mempamerkan keharmonian antara tradisi dan kemodenan yang membentuk identiti Borneo.

Pada tahun ini, lokasi festival dipindahkan ke Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan bagi menampung jumlah pengunjung yang lebih banyak di samping menawarkan suasana tepi laut yang lebih menarik untuk persembahan dan pameran.

Dr Zaliha berkata festival kali ini juga memperkenalkan pelbagai tarikan menarik pada waktu malam termasuk Glow in the Dark, Light of Borneo, Warisan Glow serta pameran seni visual.

“Festival Kesenian Borneo kini semakin berkembang menjadi simbol perpaduan dan kreativiti, menyatukan insan-insan seni dan komuniti dari segenap pelosok Borneo.

“Dengan pengisian baharu dan tapak yang lebih luas, Labuan akan terus menjadi tumpuan sebagai destinasi aktiviti seni dan budaya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan