KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) - Ringgit dijangka meningkat ke paras RM3.93 berbanding dolar AS menjelang pertengahan 2026, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh dan pembaharuan fiskal serta kelemahan dolar AS, kata MARC Ratings Bhd.
Ketua ekonominya Dr Ray Choy berkata mata wang tempatan berjaya mengharungi badai pada 2025 meskipun peningkatan ketegangan geopolitik dan perdagangan, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan ekonomi dan trajektori reformasi Malaysia.
“Jadi secara keseluruhan, kita sebenarnya boleh melihat peningkatan ringgit Malaysia pada 2025. Unjuran kami adalah 3.93 (berbanding dolar AS) menjelang pertengahan 2026.
“Pada asasnya, apabila kita memperkatakan tentang ringgit, kita merujuk kepada pasangan mata wang yang mencerminkan bukan sahaja risiko luaran tetapi juga asas ekonomi asas Amerika Syarikat (AS) dan juga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan bertajuk “Budget 2026: Building Resilience Amid Global Risks,” pada acara ‘MARC360 Reflections: Analyses of Malaysia’s Budget 2026 and Post-Budget Debates,’ yang diadakan secara maya hari ini.
Choy berkata pembaharuan dasar yang berterusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), serta peningkatan kedudukan daya saing dunia Malaysia ke tempat ke-23, telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek negara.
“Berkenaan unjuran ringgit kami, kami menjangkakan trajektori ringgit Malaysia yang kukuh dan terus meningkat menjelang 2026,” katanya.
Semasa sesi panel seterusnya, ahli ekonomi kanan ASEAN OCBC Bank Lavanya Vekataswaran berkata peningkatan ringgit tahun ini mencerminkan aliran masuk asing yang kukuh ke dalam aset Malaysia.
"Ringgit sebenarnya meningkat dengan banyak, mencerminkan sentimen agak positif pada masa ini. Kami melihat aliran masuk di kedua-dua pasaran ekuiti dan bon, dan walaupun arah aliran berubah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mata wang tempatan terus mendapat sokongan yang baik," katanya.
Lavanya berkata Malaysia bakal mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio yang beralih daripada dolar AS ke pasaran serantau, mengenal pasti Sekuriti Kerajaan Malaysia sebagai antara penerima utama peralihan ini.
Sementara itu, mengenai sama ada ringgit Malaysia boleh meningkat ke paras RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, Choy berkata prospek mata wang itu masih kekal disokong oleh perkembangan positif luaran.
“Ini termasuk jangkaan Rizab Persekutuan AS mungkin mengurangkan kadar faedah tiga hingga empat kali dalam tempoh 12 bulan akan datang, manakala Malaysia mungkin mengurangkan kadar sekali sahaja, yang mana mewujudkan perbezaan kadar faedah positif yang menyokong peningkatan nilai ringgit,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan faktor negatif berkaitan perdagangan telahpun diambil kira manakala keyakinan pelabur global dan serantau terhadap kestabilan politik Malaysia telah membawa kepada aliran masuk positif ke dalam aset Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Saya optimis dalam berhati-hati mengenai trajektori pada 2026,” katanya, sambil menambah gabungan asas domestik yang berdaya tahan dan keadaan monetari global yang bertambah baik berkemungkinan mengekalkan aliran kenaikan ringgit hingga ke tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial